Letak kamera dalam tandas asrama pekerja, pelajar didenda RM2,500 · MYKMU.NET

Letak kamera dalam tandas asrama pekerja, pelajar didenda RM2,500

Share

KUALA LUMPUR: Akibat mengaibkan kehormatan seorang wanita menerusi kamera tersembunyi di dalam bilik air di sebuah asrama pekerja, seorang pelajar lelaki didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret S. Mageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Soon Seong, 19, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut melibatkan seorang wanita berusia 29 tahun yang juga pekerja di asrama berkenaan dengan niat cuba mengaibkan kehormatannya semasa mandi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah asrama pekerja di sini pada 7 malam pada 18 Oktober lalu, mengikut Seksyen 509, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun setengah atau denda atau kedua-duanya.

Ng yang diwakili peguam bela, Mohammad Zaidi Othman, memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya adalah pesalah muda dan itu kesalahan pertamanya.

“Tertuduh merupakan anak yatim piatu, dia kini bekerja sambil belajar dalam bidang masakan dan tinggal di asrama tersebut kerana sedang menjalani (latihan) praktikal.

“Kejadian ini memberi kesan mendalam ke atas dirinya dan dia juga telah memohon maaf kepada mangsa,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin, memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

Di mahkamah sama, dua lelaki dipenjara sebulan selepas mengaku bersalah mencuri sebungkus penyedut minuman, lima bekas Cocojar, seutas jam tangan dan ‘power bank’ yang anggaran keseluruhan bernilai RM180 daripada seorang penjaja.

Mageswari memerintahkan Muhammad Nur Akmal Azisham, 22, dan Abdul Halim Ahmad Fuad, 39, menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 15 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Jambu Kerteh, di sini pada 3.15 pagi, 15 Oktober lepas mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mereka tidak bekerja bagaimanapun Hanis Anisha memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. – BERNAMA

Leave a Reply