Petugas wanita diganggu, banduan positif Covid-19 kini dijaga askar · MYKMU.NET

Petugas wanita diganggu, banduan positif Covid-19 kini dijaga askar

Share

Alor Setar: Banduan positif Covid-19 yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Penjara Alor Setar akan dipindahkan ke Pusat Rawatan Sementara (MTC) Penjara Pokok Sena mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, MTC Penjara Pokok Sena yang dibuka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat mampu menampung pesakit berkenaan.

Katanya, keputusan memindahkan semua banduan ke pusat berkenaan dibuat berikutan berlaku kes gangguan seksual terhadap petugas kesihatan wanita yang merawat mereka di HSB sebelum ini.

“Jadi mereka akan dipindahkan ke MTC Penjara Pokok Sena esok dan petugas penjara boleh memantau banduan secara terus berbanding di hospital apabila wardar hanya memantau dari hadapan bilik pesakit.

“Selain itu, yang akan merawat banduan selepas ini adalah anggota dan pegawai ATM, jadi harap mereka tidak berani membuat gangguan lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sehingga kelmarin, terdapat 1,178 kes positif membabitkan Kluster Tembok terdiri daripada 1,137 banduan dan 41 kes adalah kakitangan penjara.

Dr Mohd Hayati berkata, terdapat beberapa banduan dan petugas penjara yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB berada dalam keadaan agak serius dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Ada beberapa pesakit yang agak serius memerlukan bantuan alat pernafasan kerana oksigen dalam darah kurang, jadi kita beri oksigen dan terus pantau keadaan mereka.

“Ada beberapa tahanan dan petugas penjara yang dirawat di HSB sebelum ini juga sudah sembuh dan dibenarkan pulang, selepas ini tahanan yang agak serius akan dibawa ke MTC Penjara Pokok Sena kerana terdapat peralatan sama seperti di hospital,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Alor Setar, Dr Mohd Hayati berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor bagi menentukan bantuan yang bakal diberikan.

“Saya akan berbincang segera bersama Menteri Besar dan kita akan usahakan bantuan terutamanya kepada keluarga kakitangan Penjara Alor Setar dan Penjara Pokok Sena yang terjejas.

“Petang ini beberapa wakil rakyat Pas akan menghantar makanan basah kepada pengurusan penjara untuk diserahkan kepada keluarga kakitangan terbabit yang tidak dibenarkan keluar,” katanya. HM

Tiada Pilihan: PKPD Penjara Alor Setar dilanjutkan sehingga 1 November

Leave a Reply