Pamer taring

Share

Kuala Lumpur: Perkembangan tiga penggempur Harimau Malaya membabitkan trio LSS iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid di luar negara terus mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Paling menggembirakan sudah tentunya perkembangan positif Luqman bersama kelab utama Belgium, KV Kortrijk (KVK) apabila dia terus mempamerkan taringnya di bumi Eropah.

Terbaharu, penyerang berusia 18 tahun negara itu muncul wira skuad B-21 KVK apabila menjaringkan gol tunggal untuk menewaskan K Beerschot VA pada aksi Liga Pro Jupiler B-21, kelmarin.

Luqman yang mengikat kontrak selama lima musim dengan KVK mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-83 menerusi tandukan yang menyaksikan keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan itu melonjakkan kedudukan mereka dalam carta liga dengan KVK kini menghuni tangga keempat dengan 14 mata selepas mengharungi enam aksi.

Malah, gol berkenaan juga adalah yang ketiga baginya sejak menyertai KVK dari Selangor II pada Ogos lalu, di mana dia meledak satu gol masing-masing dengan skuad B-21 dan skuad senior KVK dalam aksi persahabatan.

Nasihat Akmal Rizal kepada Luqman

Mengulas mengenai jaringan itu, Luqman mengakui gembira membantu pasukan meraih tiga mata.

“Luis (rakan sepasukan) buat hantaran dan saya berlari ke arah bola untuk melakukan tandukan ke arah gawang. Hantaran silang itu cantik dan saya menyambutnya.

“Saya sangat gembira dapat bermain kerana di Malaysia saya jarang bermain. Saya gembira untuk gol sulung ini dalam aksi pertama bersama pasukan baharu,” katanya dalam satu video temu bual yang dimuat naik oleh kelabnya di laman Facebook KVK, semalam.

Berita gembira turut hadir dari bumi Thailand, apabila Sumareh semakin hampir untuk meraih kap pertama dengan kelabnya, Police Tero selepas dia menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari.

Sumareh, 26, dijangka turun pada aksi menentang kelab Prachuap Sabtu ini, dalam misi pasukannya untuk memperbaiki kedudukan carta liga di tangga kelapan daripada 16 pasukan.

Seorang lagi bintang negara, Safawi turut diramal membuat penampilan pertama di Portugal apabila kelabnya, Portimonense SC turun menentang SC Maritimo, juga pada Sabtu ini.

Ada Peminat Mahu Beli Kasut Emas Khalid Jamlus. Rupanya ini tujuan dia

Leave a Reply