Kementerian Kewangan nafi lulus pinjaman RM1 bilion kepada AirAsia

Kementerian Kewangan menafikan laporan ia meluluskan pinjaman RM1 bilion kepada AirAsia Group Bhd.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan tiada kelulusan sebarang pembiayaan kerajaan atau jaminan kepada mana-mana syarikat penerbangan,” kata jurucakap kementerian itu hari ini.

Terdahulu, Nikkei Asia melaporkan Putrajaya meluluskan pinjaman RM1 bilion kepada AirAsia untuk membantu syarikat itu mengharungi kesulitan akibat pandemik Covid-19.

Menurut laporan itu, pinjaman berkenaan dijangka diagihkan bulan depan oleh sekumpulan bank tempatan di bawah satu skim kerajaan, dengan 80% pinjaman itu dijamin Kementerian Kewangan.



Sementara itu, AirAsia ketika dihubungi FMT berkata: “Tiada apa untuk diumumkan ketika ini, jadi kami tidak akan mengulas”.

“Sebarang pengumuman akan dibuat apabila tiba masanya.”

Seperti kebanyakan syarikat penerbangan lain, AirAsia terjejas teruk akibat sekatan perjalanan dan penutupan sempadan antarabangsa bagi membendung penularan Covid-19.

Kira-kira seminggu lalu, kumpulan itu mengesahkan 10% daripada 24,000 tenaga kerjanya sudah diberhentikan. FMT



AirAsia catat kerugian RM803.85 juta pada suku pertama 2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker