Semua sekolah di zon merah ditutup

Semua sekolah yang berada di zon merah Covid-19 (kawasan yang mempunyai 40 atau lebih kes Covid-19) di seluruh negara akan ditutup.

Ini termasuklah sekolah di empat daerah – Klang, Sandakan, Papar dan Tuaran – yang akan dikenakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (MCO) bermula Jumaat ini.

Menurut kenyataan media Kementerian Pendidikan petang ini, sekolah-sekolah di daerah itu akan ditutup sehingga 23 Oktober.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan penutupan sekolah sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPB untuk keempat-empat daerah ini.



Bagaimanapun, Ismail menyatakan PKPB akan bermula Jumaat ini dan tidak menyebutkan tempoh perintah itu akan berkuat kuasa.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan sama berkata penutupan sekolah itu akan melibatkan sebanyak 142 buah sekolah di daerah Klang dan 242 buah sekolah keseluruhan di tiga daerah di Sabah.

“Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.



“Walau bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya.

Jelas KKM, dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.



Sementara itu, KPM berkata, bagi sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

Ketika laporan ini ditulis, data peringkat daerah terkini untuk Sabah masih belum tersedia.

Sehingga tengah hari semalam, kes Covid-19 aktif di Sandakan berjumlah 68, diikuti oleh Papar (46) dan Tuaran (28).

Sehingga tengah hari ini, daerah Klang di Selangor mempunyai 79 kes Covid-19 yang aktif.



Selain dari daerah-daerah yang disebutkan di atas, sekolah-sekolah di Kota Kinabalu, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Penampang dan Putatan sudah ditutup sebelum ini susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Bersasar. Mk

Pelajar sekolah rendah disahkan positif COVID-19



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker