TEKUN bantu pengusaha teksi terjejas COVID-19

Share

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) mengambil inisiatif memberi pembiayaan kepada pemandu atau pengusaha teksi Airport Limo yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID -19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembiayaan itu meliputi keperluan untuk modal penyelenggaraan, pemasangan kenderaan gas asli (NGV), ubah suai, kit COVID-19 dan deposit atau bayaran pendahuluan untuk pembelian teksi.

“Inisiatif ini juga akan dapat membantu pemandu teksi menyediakan teksi yang berkualiti setanding dengan perkhidmatan teksi negara maju kerana teksi Airport Limo beroperasi dipintu masuk utama negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau pembiayaan yang diberikan itu akan melahirkan lebih ramai pemandu teksi khususnya daripada golongan sasar B40, sekali gus dapat menjana pendapatan mereka.

Sehingga kini TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM36.09 juta kepada 4,526 pemandu atau pengusaha teksi di seluruh negara.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan dalam satu majlis di Putrajaya hari ini, seramai 53 pemandu dan pengusaha teksi Airport Limo (M) Sdn. Bhd di bawah Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) menerima pembiayaan berjumlah RM106,000 yang disampaikan Wan Junaidi. BERNAMA

Leave a Reply