Pedofil sasar mangsa daripada pemilik akaun media sosial

Share

Ibu bapa serta penjaga perlu memberi perhatian dan memantau anak-anak terutama di bawah umur 13 tahun yang memiliki akaun media sosial daripada menjadi sasaran pedofil.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim menegaskan, pendekatan pedofil kini bukan sahaja di alam nyata namun mula menggunakan strategi memujuk di alam maya untuk mencari mangsa.

“Pertama mereka mendekati anak-anak ini apabila berseorangan, bukan secara fizikal sahaja tetapi secara maya.

Berseorangan di padang barangkali mendekatkan risiko, tetapi berseorangan semasa melayari laman-laman sesawang ini, walaupun untuk mereka, sebenarnya di bawah 13 tahun tidak boleh memiliki akaun media sosial tetapi hari ini kita lihat anak-anak kecil juga sudah ada akaun media sosial.

“Maka hubungan itu dibuat daripada landasan ini, platform ini. Mereka mempunyai masa, pedofil berhati-hati, mula mendekati, kemudian mula bersimpati dengan nasib anak dan kemudian menjadi pendengar yang baik dan akhirnya membuat child grooming.

“Ini memang ditakuti oleh semua ibu bapa dan penjaga, malangnya kaedah pengurusan mereka semasa mengurus risiko ini sangat-sangat terhad dan sangat primitif. Andaian bahawa dengan melaksanakan perkara asas maka anak-anak ini selamat, sangat-sangat primitif,” katanya semasa dihubungi di sini, pada Isnin.

Sebuah portal berita pada tahun lepas melaporkan, Malaysia semakin menjadi sasaran sindiket pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak berikutan negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Filipina telah mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan itu.

Menurut laporan tersebut yang memetik seorang aktivis kumpulan hak asasi manusia, sindiket itu juga banyak menyasarkan kanak-kanak lelaki melibatkan kawasan Bukit Bintang, Brickfields, Pasar Seni dan Ampang di ibu negara.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan sedang mengkaji mekanisme terbaik dalam menangani isu pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak yang menyasarkan Malaysia untuk kegiatan tersebut.

Isu itu turut dibincangkan bersama-sama negara jiran dalam memastikan penularan kegiatan sumbang itu dihentikan segera.
Dalam pada itu, penganalisis jenayah Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kelekaan ibu bapa sendiri semasa melayari laman media sosial membuka ruang dan antara faktor anak diculik.

Tegasnya, kelemahan dalam aspek itu adalah kelebihan kepada penjenayah melakukan penculikan sekali gus memudahkan perancangan jahat pihak berkenaan.

“Ibu bapa diperingatkan tidak leka kepada gajet, inilah punca berlakunya jenayah, jika bersama anak-anak, beri tumpuan 100 peratus kepada anak-anak dan jangan leka. Saya rasa media sosial dan bahagian penerangan (kerajaan) kena main peranan, sentiasa berikan amaran, sentiasa ingatkan ibu bapa supaya tidak cuai dan tidak leka dengan gajet sehingga anak menjadi mangsa,” ujarnya.

Sentiasa kerjasama

Nada sama diberi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mahu rakyat sentiasa bekerjasama dengan kerajaan jika mengetahui berlakunya kes seumpama itu.

Beliau yang juga Pengerusi Selangor Wilayah Industrial Security Society (SWiSS) menasihati masyarakat untuk rapat dengan jiran sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan anak-anak.

“Ibu bapa perlu bertangungjawab terhadap keselamatan anak, kerana kecuaian ibu bapa sendiri anak menjadi mangsa atau dibawa lari oleh orang tertentu.

“Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak-anak mereka terutama mereka yang berumur empat sehingga lima tahun dan tujuh sehingga lapan tahun.

“Kalau kita ke tempat khalayak ramai, kita perlu lebih prihatin lagi untuk menjaga anak-anak kita supaya mereka tidak hilang, ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka, jangan tinggal anak sendirian, perlu dipegang Kadang-kadang ada yang tinggalkan anak kecil dalam troli di luar (kedai). Itu kecuaian ibu bapa,” katanya.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, jumlah kes jenayah seks kanak-kanak meningkat sebanyak 20.3 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir tahun 2018 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Statistik itu mendapati sebanyak 326 kes dicatatkan pada Julai hingga Disember 2018 berbanding 271 kes bagi tempoh sama pada tahun 2017 membabitkan peningkatan sebanyak 55 kes. Awani

GEMPAR! Tular gambar polis acu pistol

Leave a Reply