Kes pecah amanah Hasanah: SPRM sita lebih AS$4 juta

Share

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan beberapa pegawai Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyalahgunakan wang disyaki milik Kerajaan Malaysia yang dianggarkan jutaan ringgit dan disimpan di beberapa lokasi.

Penolong Penguasa SPRM Muhammad Nizhar Kadi berkata selepas mendapat aduan itu, SPRM telah menjalankan operasi ‘Ops Dinar 2’ bagi menyiasat dakwaan salah guna wang tersebut.

“Selepas penangkapan beberapa suspek dan penggeledahan di beberapa rumah di Cyberjaya dan Putrajaya, tiada sebarang wang tunai dan dokumen berkaitan ditemui.

“Sekitar jam 12.15 tengah malam, 30 Ogos 2018, saya dan pasukan diarahkan untuk menangkap seorang suspek yang dikenali sebagai Datuk Salahudin Yaakob di KLIA2.

“Pada jam 1 pagi, kami terus bergerak ke Shaftsbury Residence, Cyberjaya untuk tujuan penggeledahan.

“Wang tunai berjumlah AS$4.07 juta telah disita di unit tersebut,” kata saksi pendakwaan pertama ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Iskandar Ahmad dalam perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Muhammad Nizhar berkata pada jam 11 pagi, hari sama, penyitaan kedua dibuat di Kuala Terengganu selepas suspek lain yang dikenali sebagai Maliki memberitahu yang dia menyimpan sejumlah wang di rumah ibu bapanya.

“Hasil penggeledahan di rumah keluarga Maliki, saya telah menjumpai satu beg yang berisi wang tunai sebanyak RM220,000 seperti yang dinyatakan oleh Maliki.

“Maliki telah mengira sendiri duit yang disita sambil disaksikan oleh saya,” katanya.

Hari pertama perbicaraan kes itu juga mendengar keterangan saksi ketiga, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Norhisham Md Nordin, 40, yang memberitahu Hasanah tidak menyediakan Nota Serah Tugas dan Fail Meja selepas kontraknya sebagai Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM tamat.

“Kontrak perkhidmatan Hasanah bagi jawatan tersebut tamat pada 30 Jun 2018 dan beliau tidak menyediakan kedua-dua dokumen (Nota Serah Tugas dan Fail Meja) tersebut.

“Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 dan surat Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 19 Julai 1985 menyatakan mana-mana pegawai kerajaan yang bertukar atau bersara mereka diwajibkan menyediakan Nota Serah Tugas dan Fail Meja untuk diserahkan kepada pengganti,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh TPR Muhamad Ashraf Md Kamal.

Menurut Norhisham, proses pertukaran, kenaikan pangkat atau penamatan perkhidmatan pegawai, perlu disertakan Nota Serah Tugas yang selaras dengan panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.

“Nota Serah Tugas ini bertujuan sebagai panduan kepada pegawai baru yang akan mengambil alih tugas jawatan berkenaan,” katanya

Saksi itu yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai khas di Bahagian Penyelidikan JPM berkata perkara itu tercetus selepas bekas majikannya yang merupakan Ketua Pengarah Penyelidikan JPM ketika itu, Datuk Ahmad Shublee Othman mengarahkannya supaya mendapatkan Nota Serah Tugas dan Fail Meja Hasanah.

“Saya mendapati kedua-dua dokumen itu tidak disediakan oleh Hasanah selepas bertanya kepada bekas pembantu khas Hasanah serta kakitangan di Pejabat Ketua Pengarah.

“Datuk Ahmad Shublee Othman dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyelidikan pada 8 Julai 2018 bagi menggantikan Datuk Hasanah kerana kontrak perkhidmatan Hasanah tamat pada 30 Jun 2018. Sepanjang tempoh 1 sehingga 7 Julai 2018, jawatan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan tidak diisi kerana belum ada sebarang pelantikan daripada pejabat Ketua Setiausaha Negara,” katanya.

Norhisham berkata isi kandungan Nota Serah Tugas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan perlu menyatakan perkara-perkara seperti senarai kedudukan terakhir (status) tugas-tugas pegawai yang masih belum selesai, senarai harta benda atau peralatan pejabat yang berada di bawah kawalan pegawai tersebut, kedudukan kewangan semua akaun jabatan dan fail meja.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh bersambung Khamis. Bernama

Tuntutan laut: Malaysia hantar bantahan ‘keras luar biasa’ kepada China

Leave a Reply