Kerusi tak penting, yang penting impak, kata Syed Saddiq

Share

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak peduli jumlah kerusi boleh dimenangi parti baharunya yang berasaskan orang muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana lebih penting memberikan impak dalam arena politik, terutama terhadap parti politik lain.

Beliau berharap Muda, parti baharu yang ditubuhnya akan memaksa parti lain mengambil kira penglibatan orang muda supaya relevan kepada pengundi.

Katanya, walaupun parti itu akan berdepan cabaran untuk memenangi kerusi bawah sistem pilihan raya “first-past-the-post” (FPTP), beliau berharap mereka masih boleh mencetuskan perubahan terhadap parti politik sedia ada untuk melibatkan lebih ramai orang muda berperanan sebagai pemimpin.

“Kami akan memaksa parti seperti Umno untuk bersaing supaya mewujudkan perwakilan pemuda yang lebih baik. Begitu juga PPBM, DAP, PKR juga perlu mencalonkan orang muda,” katanya dalam webinar anjuran ISEAS-Institut Yusof Ishak hari ini.

Mahathir memperkecilkan parti baru Syed Saddiq

Beliau berkata, pemimpin pemuda “tidak boleh menjadi token semata-mata” dalam parti itu.

“Ia tidak boleh menjadi token semata-mata di sini dan sana. Kita perlu mewujudkan perwakilan pemuda dari peringkat atas hingga bawah.”

Beliau ditanya pelannya untuk memenangi kerusi bawah sistem FPTP sedia ada, yang bermaksud walaupun parti itu popular dalam kalangan pemuda, ia tidak semestinya diterjemahkan menjadi bilangan kerusi.

“Secara keseluruhannya saya bersetuju. Sistem FPTP sedia ada akan menghukum parti bukan tradisional tetapi ia tidak mustahil untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya.

“Kita tidak perlu segera menjadi parti terbesar atau bertanding paling banyak kerusi,” katanya menambah Muda akan menggunakan teknologi dan berpandukan maklumat untuk mengenalpasti kawasan mana berpotensi.

Syed Saddiq turut mengakui ia akan memakan masa untuk memperbaharui sistem pilihan raya supaya ia menjadi lebih inklusif.

“Walau apa pun, Muda mesti ditubuhkan sekarang untuk persediaan terhadap itu. Jika bukan semasa PRU15, ia mungkin pilihan raya umum akan datang, tetapi kerja mesti bermula dari sekarang,” katanya.

Sebelum ini bekas ketua Pemuda PPBM itu mengumumkan beliau akan menubuhkan sebuah sebuah parti berasaskan orang muda.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti politik lain mempersoalkan adakah ia relevan dalam kancah politik tempatan. FMT

Leave a Reply