Kesetiaan pada PM (Bukan MN) tiada dalam piagam Muafakat Nasional, kata Isham Jalil

Share

Seorang pemimpin Barisan Nasional hari ini menepis tanggapan Umno melanggar piagam Muafakat Nasional sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, dalam kenyataan berkata tiada dalam piagam MN menuntut kesetiaan atau sokongan kepada seorang perdana menteri.

“Lebih-lebih lagi apabila perdana menteri tersebut adalah dari PPBM yang bukanlah pihak yang termaktub dalam piagam MN tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, PAS mahu penjelasan “sejelas-jelasnya” daripada Umno berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan ahli Parlimen Umno terhadap perdana menteri, mengatakan Umno tidak patuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam piagam MN jika benar keadaan itu.

“Sekiranya peralihan ini benar, ia boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan PN yang terbina atas permuafakatan BN, PPBM, PAS, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan,” kata Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dalam kenyataan.

PAS mengingatkan piagam MN berteraskan matlamat menyatupadukan umat Islam dan mengalahkan PH yang diterajui PKR, DAP, dan Amanah, serta menyeru Umno kembali menghayati hasrat dan iltizam yang disepakati.

Isham bagaimanapun menepis pendapat mengatakan peralihan sokongan oleh Umno tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan dalam piagam MN seabagai “kesalahan fakta”, kerana piagam MN ditandatangani pada 14 Sept 2019 ketika PPBM menerajui gabungan PH.

“Hakikatnya mengikut piagam ditandatangani, pihak yang ingin dikalahkan bukan sahaja PKR, Amanah, dan DAP seperti yang disebut, tetapi juga termasuk PPBM dan juga perdana menterinya,” katanya.

Islam turut membuat seruan balas, mengajak semua pihak terus istiqamah dan kembali ke landasan asal pembentukan MN.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pemimpin PAS boleh mendapatkan penjelasan daripada Umno minggu depan “dalam mesyuarat induk MN secara tertutup”.

“Sama-sama perlukan penjelasan termasuk kemasukan PAS sebagai komponen parti dalam Perikatan Nasional,” katanya di Twitter, dan menambah fokus ketika ini adalah pilihan raya Sabah.

Perkembangan ini menyusuli kenyataan yang dikaitkan dengan Presiden Umno, Zahid Hamidi, yang dilapor berkata partinya tidak dapat menghalang ahli Parlimen yang mahu menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ia selepas Anwar mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baharu, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam. FMT

Isham Jalil akan saman ‘Che Det’

Leave a Reply