Azmin mungkin kembali sebagai MB jika PN rampas Selangor

Perikatan Nasional (PN) meletakkan harapan besar kepada pengerusi negeri Mohamed Azmin Ali untuk memberikan “hadiah” kemenangan kepada gabungan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata meskipun parti mereka adalah “parti miskin”, gerak kerja mereka akan memastikan kemenangan buat gabungan itu.

“Parti kita adalah parti miskin, tapi gerak kerja kita adalah strategi untuk menang.



“Menjadi kewajipan untuk Azmin memberikan Selangor kepada kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN, Shah Alam, lewat petang tadi.

Untuk rekod, pada 21 Mei lalu Azmin berkata dia tidak akan bertanding pada PRN kerana ingin berehat.

Bagaimanapun, Muhyiddin hari ini berkata Azmin belum diumumkan untuk bertanding DUN Selangor pada PRN akan datang.

“Dia belum umum tanding ke tak tanding,” katanya.



Azmin pernah menjadi menteri besar Selangor bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara Sept 2014 sehingga 19 Jun 2018.

Dia yang pernah menjadi timbalan presiden PKR kemudian melepaskan jawatan tersebut untuk menyertai kabinet Dr Mahathir Mohamad.

Azmin kemudian mengetuai sekumpulan ahli parlimen PKR untuk berpaling tadah meninggalkan PH dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan jatuhnya kerajaan 22 bulan PH.

Dia kemudian dilantik menjadi menteri kanan dalam kabinet Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.



Azmin tewas di kerusi parlimen Gombak dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Azmin bagaimanapun masih menjadi Adun Bukit Antarabangsa.

Tewaskan PH di benteng kebanggaan

Sementara itu, di pentas yang sama Ketua Pemuda PN merangkap Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari turut menyatakan harapan yang sama agar Azmin berbuat demikian.



“Pemuda PN akan memberikan fokus terbesar kepada Selangor, takkanlah bekas menteri besar Selangor dan Pengerusi BN Selangor tak boleh tolong hadiahkan Selangor kepada kita,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker