Aqilah sudah boleh bercakap

Bukit Mertajam: Mangsa yang terselamat dalam kejadian keracunan karbon monoksida, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, akan dipindahkan ke wad biasa jika keadaan kesihatannya bertambah baik.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis dimaklumkan mangsa kini sudah boleh bercakap walaupun masih tidak lancar.



“Nor Aqilah tidak boleh bangun lagi tetapi dia sudah boleh bercakap walaupun tidak lancar. Mangsa juga sudah boleh makan, tetapi setakat ini dia hanya dapat menikmati bubur nasi.

“Jika keadaannya bertambah baik, maka dia boleh ditukarkan ke wad biasa,” katanya, di sini, hari ini.

Semalam, Nor Aqilah dilaporkan sedar daripada koma selepas seminggu menjalani rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 8.30 malam 16 September lalu, empat mangsa iaitu Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri serta dua beradik kembar Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun, berhenti rehat hingga tertidur dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di tempat letak kereta stesen minyak di Sama Gagah di Lebuhraya PLUS arah Utara, di sini.

Mereka yang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, bagaimanapun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 1 pagi keesokkannya.



Sharifah Fariesha maut di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie pula meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Tidak lama kemudian, Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.

Manakala, Nor Aqilah dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Laporan bedah siasat ke atas tiga mangsa yang maut mendapati punca kematian mereka disebabkan terhidu karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ berfungsi-HM



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker