Lelaki dikejar lawan arus terjun bersama dadah di Lebuhraya Kerinchi

Beberapa paket dadah antara barangan ditemui pada mangsa yang dipercayai terjun ke Lebuhraya Kerinchi arah Ara Damansara, semalam.

Ketua Polis Brickfields Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berumur 60 tahun bertindak demikian kerana dikejar oleh orang awam di 1 lokasi tidak dapat dipastikan hingga ke Kerinchi Link.

Katanya, video kejadian itu turut tular yang menunjukkan pemandu kenderaan jenis Kia itu memandu melawan arus dan dikejar oleh beberapa penunggang motosikal.

Tonton : Lawan arus akibat langgar lari, akhirnya maut menanti [Video]



“Semakan mendapati si mati mempunyai lebih kurang 24 rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, samun dan curi kenderaan. Semakan lanjut mendapati si mati juga mempunyai 3 rekod dikehendaki polis bagi kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

“Keluarga si mati sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan punca kematian,” katanya.



Terdahulu, Zairulnizam berkata pihaknya mengesahkan menerima maklumat awal berkaitan kemalangan melibatkan 2 kereta jenis Kia dan Toyota Hilux di Kerinchi Link.

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, kemalangan berlaku apabila pemandu kereta jenis Kia bertindak memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba di bahu jalan, hingga menyebabkan pemandu Toyota Hilux melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.

“Menurut pemandu Toyota Hilux itu, selepas pelanggaran berlaku pemandu kereta Kia keluar dan memanjat penghadang jalan lalu terjun ke Lebuhraya Kerinchi arah Ara Damansara,” katanya.

Katanya, kemalangan itu disiasat oleh polis trafik bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).



“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker