Qatar persembah replika stadium Piala Dunia kepada Seri Paduka

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud di Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pertemuan selama sejam itu menyaksikan Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat daripada Fahad mengenai persiapan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima persembahan dari Fahad iaitu replika semua lapan stadium yang sudah dibina di Qatar bagi Piala Dunia 2022 yang mana setiap stadium bercirikan konsep kehidupan masyarakat Timur Tengah dengan reka bentuk dan seni bina tersendiri.



Sebagai maklum balas, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan tahniah kepada Qatar atas kejayaan menyelenggara persiapan dalam segala aspek penganjuran Piala Dunia 2022 ketika dunia masih bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19.

 

AL-SULTAN Abdullah menerima menghadap Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud di Istana Negara, Kuala Lumpur.
AL-SULTAN Abdullah menerima menghadap Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud di Istana Negara, Kuala Lumpur.

 

Seri Paduka turut menyatakan baginda mengikuti perkembangan terkini bola sepak dunia, khususnya di Asia kerana mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan.



Sebagai rekod, Al-Sultan Abdullah sememangnya tidak asing dalam bidang sukan khususnya membabitkan bola sepak di peringkat domestik mahupun rantau antarabangsa menerusi pengalaman baginda menerajui beberapa persatuan sukan terbabit.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Malah, Seri Paduka juga mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia untuk penggal 2015-2019.-BH



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker