Selepas meletak jawatan 15 tahun lalu kini ‘Rasul Melayu’ kembali semula [Video]

 

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malam tadi menahan semula seorang lelaki yang pernah mendakwa dirinya Rasul Melayu satu masa dahulu.

Penahanan itu ekoran ajaran sesat itu dikesan kembali aktif semula di sekitar Lembah Klang.

Selain lelaki yang mendakwa Rasul Melayu, JAIS juga menahan sebanyak 16 pengikutnya yang berusia antara 14 dan 70 tahun di tiga lokasi berasingan sekitar Selangor.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Operasi Khas Penguatkuasaan dilaksanakan selepas kesemua mereka dipercayai mengamalkan sebuah ajaran yang difatwakan sesat pada 28 Mac 1991 dan diwartakan pada 29 Ogos tahun yang sama oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor.

Melalui risikan dan makluman awam yang diterima JAIS, ajaran tersebut dipercayai kembali aktif dengan modus operandi baharu.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk siasatan lanjut. Beberapa naskhah buku, telefon bimbit, komputer riba, al-Quran terjemahan dan risalah berkaitan ajaran turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)1995 atas kesalahan (Doktrin Palsu); Seksyen 8, (Dakwaan Palsu) dan Seksyen 12(c) akta yang sama kerana (Menghina Pihak Berkuasa Agama).

Untuk rekod, pada Oktober 2009, Mahkamah Tinggi Syariah pernah memerintahkan lelaki tersebut dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat.

Justeru, menurut Mohd Shahzihan, pihaknya turut memohon kerjasama daripada orang ramai supaya memaklumkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan kesalahan jenayah syariah kepada pihak penguat kuasa JAIS di talian Hotline 1- 800-88-2424. MG

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker