Kes Lim Guan Eng: Ini Ibu Segala Pendakwaan: Pendakwa Raya Yakin ‘99% menang [Video]

 

GEORGE TOWN: Beberapa peguam mempersoalkan kenyataan seorang pendakwa raya dalam pertuduhan terbaru Lim Guan Eng hari ini atas kesalahan berkait dengan pelupusan harta milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta kepada 2 syarikat.

Mereka berkata kenyataan itu tidak wajar.



Terdahulu, timbalan pendakwa raya (DPP) Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata kes Lim hari ini adalah “ibu segala kes” dibandingkan dengan tuduhan lain dihadapinya, dengan peluang “99%” untuk memenangi kes itu.

Peguam V Parthipan berkata, belum pernah berlaku sebelum ini seorang pendakwa mengeluarkan kenyataan seperti itu, ketika hakim satu-satunya individu yang akan memutuskan sabitan kes berkenaan

“Sekiranya anda mempunyai bukti kukuh, sebaiknya teruskan bukti dan hujah anda di mahkamah. Tidak perlu membuat kenyataan seperti ‘99% akan menang’.

“Seolah-olah kami menekan hakim untuk menghukum tertuduh kerana anda memiliki kes yang baik. Jika DPP gagal mensabitkan tertuduh, itu akan kelihatan buruk pada mereka,” katanya kepada FMT.



Peguam Siti Zabedah Kasim berkata, DPP perlu berusaha melindungi orang yang tidak bersalah dan mensabitkan yang bersalah, dan menghormati hak undang-undang semua, termasuk tertuduh.

“Saya berharap dalam semangatnya untuk mendakwa, dia tidak gagal untuk menunaikan tanggungjawabnya. Saya harap dia tidak didorong untuk menghukum tertuduh.

 

 



“Tidak ada ancaman lebih besar terhadap sistem keadilan daripada ditimbulkan oleh pendakwa tidak beretika.

“Seorang pendakwa bukan saja tidak terikat untuk menuntut hukuman dengan segala cara, dia dilarang oleh etika daripada sengaja melanggar hak tertuduh,” katanya.

Seorang peguam lain yang tidak mahu disebutkan namanya berkata, kenyataan DPP itu “sangat berat sebelah”, kerana kebanyakanya menjauhi media bagi mengelak situasi “perbicaraan oleh media”.

“Ini juga menimbulkan pertanyaan apakah Peguam Negara membenarkan kenyataan seperti itu.



“Kenyataan kepada media, jika ada, harus memberikan fakta yang tepat untuk pengetahuan masyarakat. Bukan untuk menyiarkan pendapat dan perasaan pendakwa.

“Pendapat pendakwa tidak bermaksud apa-apa kerana tugasnya adalah melakukan pendakwaan berdasarkan bukti diperoleh daripada siasatan,” katanya.

Peguam Lim, Gobind Singh Deo pelik apabila pendakwa yang sama membuat kenyataan mengenai kes itu ketika mereka sendiri meminta perintah larangan kepada mahkamah sebelum ini. Tidak ada perintah larangan dikeluarkan oleh mahkamah setakat ini.

Katanya, beliau akan merujuk perkara itu kepada mahkamah kemungkinan berlaku subjudis daripada kenyataan berkenaan.



FMT menghubungi Shaharuddin melalui bahagian komunikasi korporat Pejabat Peguam Negara dan menunggu respons daripadanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker