Pemandu van kilang parah diserang enam lelaki berparang

Share

BUTTERWORTH – Seorang pemandu van kilang cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan rumahnya di Kampung Perlis di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, enam suspek yang bersenjatakan parang turut merosakkan empat buah kenderaan milik mangsa selain memecahkan cermin bahagian depan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, jiran mangsa yang menyedari kejadian itu menghubungi polis selepas mendapati lelaki berkenaan cedera di bahagian tangan dipercayai ditetak.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa berusia 50 tahun mengalami kecederaan parah di badan serta tangan hampir putus.

“Daripada keterangan mangsa kejadian berlaku jam 10.30 pagi semasa dia berada di rumah sebelum didatangi enam lelaki yang dikenalinya dengan bersenjatakan parang.

“Mereka bertindak menyerangnya dan merosakkan empat buah kereta termasuk van kilang serta cermin rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati kumpulan lelaki yang menyerang mangsa tidak berpuas hati dengan kejadian anaknya ditampar seorang daripada suspek terbabit dalam kejadian di Taman Mewah di sini semalam.

Katanya, ketika pergelutan berlaku, mangsa juga bertindak mempertahankan diri dengan menyerang kembali seorang daripada suspek dengan menggunakan parang yang terjatuh milik salah seorang daripada kumpulan terbabit.

“Suspek itu turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan kanan akibat terkena senjata tajam dan dia menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Susulan kejadian itu, polis menahan lelaki berkenaan bersama dua rakannya yang berusia 24 hingga 26 tahun. Kita sedang mengesan tiga lagi lelaki turut terlibat dalam kes rusuhan ini,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 326,148 dan 427 Kanun Keseksaan iaitu pukul, merusuh serta merosakkan kenderaan dan rumah.

Leave a Reply