Mahathir siar usul undi tak percaya terhadap Muhyiddin sebagai PM

Mahathir menyiarkan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri di blognya untuk tatapan umum kerana ia tidak akan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bekas perdana menteri itu berkata, usul itu sudah 2 kali diletakkan pada akhir sidang Dewan Rakyat.

“Usul kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini, sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.

“Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam Parlimen, maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog saya untuk tatapan orang ramai,” tulisnya di blognya hari ini.



ADVERTISING

Ads by Teads

Dalam usul itu, Mahathir menjelaskan sebab utama usul itu, termasuk keputusan Muhyiddin bersama Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan Melayu-Islam bagi mengelakkan DAP “menghancurkan orang Melayu”.

“Dakwaan DAP boleh hancur orang Melayu tidak masuk akal. Orang Melayu tidak mudah dihancur. Percubaan British merampas negeri-negeri Melayu melalui Malayan Union digagalkan oleh orang Melayu.



“Jika DAP cuba hancurkan orang Melayu, ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin) sebagai menteri dalam negeri pada masa itu boleh batalkan pendaftaran parti itu dan haramkan aktiviti mereka.”

Katanya, beliau tidak dapat menerima alasan Muhyiddin bersama Umno kerana ia mengkhianati pengundi yang menolak kerajaan pimpinan Najib Razak.

“Saya telah minta PPBM tangguhkan perancangan ini, tetapi Muhyiddin sudah rapatkan hubungan PPBM dengan Umno dan PAS di Hotel Sheraton untuk merayakan gabungan antara mereka.

“Sesungguhnya cara beliau menjadi perdana menteri amatlah memalukan. Ia tidak pernah berlaku sehingga kini di Malaysia. Beliau sendiri mengaku kerajaan Perikatan Nasional ini bukanlah kerajaan pilihan rakyat.”



Mahathir berkata, beliau yang ketika itu ialah pengerusi PPBM sedia menerima penyertaan bekas ahli Umno dalam parti, tetapi dengan syarat dan beliau tidak dapat menerima Umno secara “en-bloc” seperti yang dikehendaki Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya sedih kerana rakan seperjuangan sanggup pilih musuh, iaitu Najib, dan menolak saya, rakan dalam parti yang kita tubuh bersama.”

Beliau turut mendakwa Muhyiddin menawarkan jawatan kepada penyokongnya dan memecat pemimpin PPBM yang menentangnya, tindakan melanggar undang-undang parti itu.

Katanya, tokoh profesional dipecat daripada syarikat berkaitan kerajaan yang digantikan lantikan ahli politik.



Beliau berkata, pelantikan Muhyiddin tanpa melalui pilihan raya umum melanggar Perlembagaan dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem pilihan raya.

“Yang jelas ialah suara rakyat tidak mempunyai nilai di Malaysia lagi kerana melalui pintu belakang, parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi kerajaan. Rakyat tertipu dengan cara ini.” FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker