Saya selesa duduk dengan Pas, UMNO berbanding Anwar Ibrahim – Azmin

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan dirinya lebih selesa berkawan atau bekerjasama dengan parti UMNO dan PAS jika dibandingkan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, perseteruan dan perebutan jawatan membabitkan pemimpin terbabit dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuatkan dirinya serta rakyat Malaysia sudah berasa bosan kerana diheret sama ke dalam kancah yang berlarutan selama lebih 20 tahun itu.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan dirinya bersama beberapa Ahli Parlimen yang lain mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah Azmin, tindakan terbabit juga adalah sebagai langkah untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil di mana mampu memenuhi hasrat dan keperluan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.



“Soalan yang sering ditanya kepada saya, apakah saudara selesa duduk dengan Pas dan UMNO? Saya jawab mudah saja,`saya lebih yakin duduk di sebelah Pas dan UMNO daripada duduk dengan Anwar Ibrahim.

“Saya bukan kenal dia satu hari (atau) dua hari, berpuluh tahun (saya kenal), sudah-sudahlah.

“Rakyat menderita di bawah, rakyat susah di bawah, hari-hari dia (Anwar) tanya bila aku nak jadi perdana menteri.

“Yang si Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) kata tunggulah bagilah aku enam bulan lagi, (Anwar) tak (setuju), (minta) tetapkan tarikh.



“Tuan-tuan, 20 tahun kami bincang siapa nak jadi perdana menteri, cukuplah tak ada kerja lain.

“Saya ingat dua-dua ni rehat, serahkan kepimpinan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara Kedah di Alor Setar, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin turut menyatakan keyakinan bahawa gabungan PN dan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam Pilihanraya Umum ke-15 jika ia dilaksanakan dalam masa terdekat.



Jelasnya, keyakinan itu adalah bersandarkan sokongan masyarakat berbilang bangsa ketika Pilihanraya Kecil PRK DUN Slim dan Chini selain penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama ketika proses fasa pemulihan daripada wabak COVID-19.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker