Lim ada moral kah? ‘Kura-kura dalam perahu’ – Khairuddin

Khairuddin mempersoalkan kelayakan Lim untuk berbicara soal moral, sedangkan Lim sendiri berdepan dengan pertuduhan di mahkamah.

Daripada mengulas tentang dirinya, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Khairuddin Takiri Mohd Khairuddin Aman Razali mencadangkan Lim Guan Eng memberikan tumpuan terhadap kes rasuah yang sedang dihadapi bekas menteri kewangan itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mempersoalkan kelayakan Lim untuk berbicara soal moral, sedangkan Lim sendiri berdepan dengan pertuduhan jenayah rasuah yang menurut Khairuddin merupakan sesuatu yang tidak bermoral.

“Itu kesalahan jenayah yang sangat besar. Itu maksiat besar. Tidak bermoral!



“[…] Beliau memang ada moral ke? Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin mempersoalkan moral Lim dengan membangkitkan kes rasuah banglo yang digugurkan oleh bekas peguam negara yang katanya, “dipertikaikan oleh rakyat”, serta kes rasuah terowong bernilai RM6.3 bilion.

Dia turut mendakwa Lim tanpa rasa malu menipu di Dewan Rakyat bahawa wang GST dirompak, dan terkini, kes projek rundingan terus bernilai RM6 bilion semasa Lim menjadi menteri kewangan, malah Lim didakwa memberi kelulusan tanpa pengetahuan menteri berkaitan.



Dia dipercayai merujuk rundingan terus pada zaman PH yang menjadi kontroversi baru-baru ini apabila dibangkitkan di Dewan Rakyat, khususnya projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dakwa menterinya, Zuraida Kamaruddin, diluluskan tanpa pengetahuannya.

Setiausaha politik Zuraida mendakwa projek itu sebenarnya diuruskan kementerian Lim.

Bagaimanapun, Lim menepis dakwaan itu dan mencabar Zuraida mendedahkan semua surat berkaitan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB bernilai RM170.3 juta.

Lim hari ini membidas PAS yang katanya mengangkat Khairuddin sebagai wira sedangkan Khairuddin dan keluarganya secara terang-terangan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan melanggar kuarantin kendiri 14 hari setelah kembali dari Turki.



Kata ahli parlimen Bagan itu, pendirian PAS menunjukkan betapa terpesongnya sistem nilai di dalam PAS.

Malah dakwa Lim, perbuatan Khairuddin itu tidak bermoral, berdosa, dan menyalahi undang-undang, namun Khairuddin hanya dikompaun RM1,000 sedangkan ada rakyat yang melakukan kesalahan serupa didenda jauh lebih tinggi malah dipenjara.

Lim dipercayai merujuk kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang mengibaratkan pelanggaran SOP Khairuddin itu seperti burung hudhud yang melanggar perintah Nabi Sulaiman untuk mencari air, sebaliknya melakukan pengintaian kerajaan Sabah yang diperintah Ratu Balkis.

Keingkaran burung hudhud itu, kata Hashim, menyebabkan Ratu Balkis dan rakyatnya memeluk Islam, menjadikan burung huh hud itu sebagai “hero”.



Menurut Hashim lagi, kisah burung hud hud seperti Khairuddin yang hasil lawatannya ke Turki didakwa berjaya menyebabkan harga kelapa sawit melonjak.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan terbaru Lim terhadapnya, kata Khairuddin, Lim sebenarnya hanya mahu mengalihkan perhatian rakyat daripada kes rasuah yang sedang dihadapinya.

“Saya rasa beliau ingin mengalihkan perhatian rakyat daripada berbicara tentang kes rasuah yang masih dipalitkan kepada beliau.

“Beliau akan berhadapan dengan dua lagi kes jenayah di mahkamah. Untuk menenangkan dirinya beliau sedang berzikir perihal orang lain.



“Harap bertabah Lim Guang Eng,” kata Khairuddin lagi.

Lim dijangka dikenakan dua lagi pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin minggu depan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, menurut satu sumber.

Sebelum ini, setiausaha agung DAP itu telah didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah membabitkan projek sama.

Isteri Lim, Betty Chew pula didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram. MKini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker