Siar gambar lama di Belanda, Khairuddin mahu saman portal berita

Share

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan beliau bercuti ke Belanda semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, laporan tersebut yang memaparkan gambar beliau bersama isteri di Belanda adalah gambar lama yang diambil pada 2016.

“Saya ke Belanda bukan sekarang, pada 2016, 2017, 2018 dan 2019 untuk projek lain, bukan ketika PKPP ini, (ketika PKPP) hanya ke Turki sahaja.


“Gambar itu seingat saya pada 2016, saya ke Belanda untuk bertemu dengan pegawai di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membawa Israel ke muka pengadilan dalam satu kes jenayah terhadap Palestin.

“Hasil mesyuarat pada 2018 saya pergi lagi pada Mei 2019 untuk rundingan kedua dan sekarang dalam proses untuk dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan RRIMNIAGA peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

Khairuddin mengulas laporan yang memaparkan gambarnya bersama isteri dengan berlatarbelakangkan kincir angin yang cukup sinonim dengan Belanda.


Beliau menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas organisasi media itu kerana membuat laporan palsu.

“Mana-mana orang yang membuat berita palsu di internet tunggulah surat guaman daripada saya.

“Saya hari ini uruskan satu surat guaman kepada satu syarikat pemberitaaan yang membuat berita palsu tentang saya dan isteri ke Belanda.


“Saya harap tiada lagi pemberita yang akan membuat berita palsu,” katanya.

Mengenai siasatan berhubung kes melanggar arahan kuarantin waji, Khairuddin berkata, beliau masih menunggu perkembangan sama daripada pihak polis.

Khairuddin berdepan kritikan ramai, malah terdapat desakan agar beliau meletakkan jawatan susulan kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada Julai lepas.

Bukit Aman sebelum ini berkata, ia sudah membuka kertas siasatan terhadap menteri berkenaan dan sebanyak 27 laporan polis diterima dari seluruh negara berhubung perkara itu setakat ini. Bernama

Leave a Reply