Ong Kian Ming tidak setuju sekatan menyeluruh ke atas pelancong asing

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming hari ini meminta kerajaan memikirkan semula sekatan menyeluruh ke atas kemasukan pelancong dari negara “zon merah”, sebaliknya mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan mereka diperketatkan.

Ia susulan pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berhubung larangan masuk pelancong dari sejumlah negara, termasuk India, Indonesia dan Filipina, yang kemudian diperluas ke negara yang mencatatkan lebih 150,000 kes Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ong menyifatkan penanda aras itu bersifat”sewenang-wenang”, dengan berkata, ia tidak mengambil kira angka kes pulih, sama ada kadar jangkitan negara terbabit menurun dan pemegang pasport dari negara yang dilarang mungkin tinggal di negara yang mempunyai kurang daripada 150,000 kes Covid-19.

Beliau berkata, larangan itu berpotensi memisahkan warga asing yang bekerja secara sah di Malaysia dari keluarga mereka untuk tempoh masa yang berterusan.



Katanya, ia juga boleh membawa kesan negatif ekonomi kerana akan mempengaruhi hubungan dengan pelabur asing.

“Banyak projek pelaburan langsung asing (FDI) yang sedang dijalankan akan dipengaruhi secara negatif oleh larangan menyeluruh ini. Ini termasuk projek syarikat dari negara seperti AS, Perancis, Jerman dan UK,” kata Ong.

“Peluang baru FDI juga akan terhalang jika eksekutif atasan dari negara itu tidak diizinkan memasuki Malaysia untuk mengkaji kemungkinan membangunkan kemudahan pembuatan.”



Ong mencadangkan daripada menghalang pelawat memasuki negara ini, mereka perlu dikenakan SOP lebih ketat.

“Sebagai contoh, mana-mana warganegara asing yang mempunyai dokumen yang sah untuk memasuki Malaysia, tetapi datang dari kawasan atau negara zon merah perlu mengambil ujian Covid-19 sebelum memasuki Malaysia.

“Dia perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari (atau lebih) dan disahkan bebas Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja dan tinggal di sini,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker