APA KHABAR BENJY: KERANA COVID-19 SENIMAN TAK DAPAT LAWAT DAN TAKKAN LUPA PELAKON BENJY

Share

Malangnya, tahun ini, kami tidak dapat pergi ke Medan kerana pandemik COVID-19. Bagaimanapun, tidak bermakna kami melupakan Benjy. Kami masih mengambil berat dan risau dengan keadaannya. Apatah lagi Benjy ditahan di penjara di luar negara, pasti ada cabaran tersendiri.

“Ketika saya bertemu Benjy pada 2018, saya lihat dia mengalami masalah kesihatan. Benjy menghidap penyakit asma yang kritikal dan batuk tanpa henti. Sama juga keadaannya ketika Hafiz melawat Benjy, April tahun lalu. Benjy beritahu penyakit asma yang dihidapinya masih teruk.

“Ketika itu, apa yang lebih merisaukan kami adalah apabila mendapat tahu, Benjy menghubungi rakan-rakan artis di Malaysia meminta tolong,” demikian kata presiden SENIMAN, Zed Zaidi yang memberitahu, SENIMAN merancang membuat lawatan berkala ke Penjara Tanjung Gusta bagi memberi sokongan moral kepada pelakon Benjy.


Kali terakhir bertemu April tahun lalu, niat Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menjenguk Benjy yang menjalani hukuman di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia, sejak 2017 atas kesalahan memiliki dadah, tidak kesampaian akibat penularan COVID-19.

Mengambil inisiatif membantu Benjy atau nama sebenar, Khaeryll Benjamin Ibrahim, sejak lebih dua tahun lalu, SENIMAN bimbang keadaan terkini anak bintang veteran, Allahyarham Azean Irdawaty itu, yang pastinya berdepan cabaran menjadi banduan di negara orang.

Sebelum ini, pada Disember 2018, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi pernah melawat Benjy di penjara berkenaan. Ini disusuli kunjungan setiausaha persatuan itu, Mohd Hafiz Mohd Nafiah yang memberi sumbangan kepada pelakon terbabit, April tahun lalu.


Zed berkata, aduan dikemukakan rakan artis yang prihatin dengan nasib Benjy mendorong SENIMAN mengambil inisiatif membantu pelakon terbabit: “Benjy ada menghubungi rakan-rakan artis meminta pertolongan. Jadi, ramai yang membuat aduan kepada kami.

“Disebabkan itulah, kami lancarkan Tabung Prihatin Seniman Khas untuk Benjy sejak dua tahun lalu. Tabung ini bertujuan mengumpul sumbangan orang ramai agar bantuan dapat disalurkan kepadanya.

“Namun, jumlah yang diterima, tidak diberi ‘bulat-bulat’ kepada Benjy. Separuh daripada kutipan kami serahkan kepada adik Benjy. Kalau berlaku apa-apa, keluarga Benjy boleh salurkan kepadanya,” ujarnya.


Tidak cukup itu, simpati dengan kesihatan Benjy, SENIMAN menganjurkan program larian, Seniman Run 2.0, Februari tahun lalu. Zed berkata, larian itu bertujuan mengumpul dana untuk ahli SENIMAN yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan seperti Benjy.

Namun, Zed menafikan SENIMAN hanya prihatin kepada sekelompok anak seni sahaja: “Jangan salah anggap kami menolong Benjy yang ditahan disebabkan kes penyalahgunaan dadah. SENIMAN seboleh-bolehnya mahu menolong setiap anak seni yang memerlukan.

“Misalnya, baru-baru ini, SENIMAN melawat pelakon dan pelawak, Pak Lah Cecupak yang mengalami masalah kesihatan kanser usus tahap empat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kami juga menziarah artis veteran James SE Quah yang menjalani pembedahan akibat pecah pundi kencing sehingga menyebabkan jangkitan kuman di Hospital Selayang,” tuturnya.

Pada April 2017, Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais republik itu sejurus tiba dari Kuala Lumpur.

Benjy disyaki memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian duburnya. Pada 18 Oktober 2017, Benjy dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia.-BH

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!