Malaysia sekat kemasukan rakyat dari negara lebih 150,000 kes Covid-19

Kerajaan tidak membenarkan rakyat dari negara yang mencatatkan lebih 150,000 kes positif Covid-19 memasuki Malaysia bermula Isnin ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, antara negara dalam senarai sekatan itu ialah Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, United Kingdom, Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Rusia dan Bangladesh, selain 3 negara yang diumumkan Selasa lalu, iaitu India, Indonesia serta Filipina.

“Kita akan tambah lagi (senarai negara) yang dianggap berisiko tinggi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kempen Pembudayaan Norma Baru hari ini.

“Kecuali jika kes melibatkan kecemasan atau urusan berkaitan hubungan 2 negara. Bagaimanapun, ia perlu mendapat kebenaran Jabatan Imigresen.”



Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan lebih lanjut senarai negara yang merekodkan lebih 150,000 kes positif Covid-19.

Kelmarin, Ismail mengumumkan sekatan kemasukan kepada pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina bermula 7 Sept ini berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negara itu.

Sekatan itu merangkumi 6 kategori, iaitu mereka yang berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak mereka serta pelajar dari 3 negara itu yang ingin kembali ke Malaysia.



Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat Malaysia dari negara berisiko tinggi pulang, namun mereka tertakluk kepada kuarantin wajib 14 hari.

Mengenai Kempen Pembudayaan Norma Baru, Ismail berkata, ia akan dilaksanakan sehingga 31 Dis ini bagi memastikan masyarakat terus mematuhi SOP untuk memerangi Covid-19.

Katanya, pelbagai kempen di pusat beli-belah, media sosial dan media cetak akan dibuat bagi memastikan tahap tinggi kepatuhan SOP.

“Sekarang kepatuhan SOP tinggi kerana adanya Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan polis boleh lakukan penguatkuasaan.



“Kita mahukan rakyat terus melakukan kawalan kendiri seperti pakai pelitup muka, kerap basuh tangan dan terus amalkan penjarakan fizikal.” FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker