Dulu Olahragawati Paralimpik..Kini Saya Berniaga, Bukan Minta Sedekah

SEBERANG PERAI – Wanita ini pernah mengecapi kegemila­ngan selepas dinobatkan sebagai Olahragawati Paralimpik 2016 berikutan pencapaian memberangsangkan dalam sukan renang.

Ini termasuk kejayaan Koh Lee Peng membantu negara selepas merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak dalam kejohanan ASEAN Para Games pada 2001 hingga 2005.



Kini Lee Peng, 47, menjalani kehidupannya sebagai penjual tisu dan beberapa produk lain di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini.

“Saya cuma mahu berniaga, bukan meminta sedekah.

“Namun masih ramai yang mengganggu saya dan menganggap sebagai pendatang asing dari Thailand, Vietnam atau Fi­lipina,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Lee Peng yang menghidap Palsi Serebrum sejak kecil berkata, berbanding tahun-tahun sebe­lumnya, tahun ini dianggap pa­ling mencabar apabila perniagaan kecil-kecilannya itu terjejas akibat pandemik Covid-19.



Akibatnya Lee Peng terpaksa berkurung selama lebih tiga bulan di rumah.

Dalam tempoh itu, Lee Peng belajar menghasilkan produk kraf termasuk sapu tangan dan beg kecil.

“Ini sahaja yang saya boleh saya lakukan (berniaga), hendak mohon kerja lain walaupun sebagai jurulatih renang susah kerana keadaan kesihatan yang tidak menentu.

“Saya berniaga hampir setiap hari kecuali semasa sakit walaupun adakalanya tidak laku,” katanya.



Beliau memberitahu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan turut membantu menghulurkan sumbangan sepanjang pandemik Covid-19, namun masih tidak mencukupi.

Lebih menyedihkan, ada pihak yang tidak mempercayai wanita itu merupakan bekas atlet para­limpik kebangsaan walaupun dia membawa keratan akhbar me­ngenai kejayaannya.

“Kalau diikutkan, saya mahu bawa kad atlet dan pingat tetapi saya sudah serik sejak kad pe­ngenalan dilarikan seorang individu tidak bertanggungjawab sebelum ini.

“Sebenarnya, kalau tak mahu beli barang tak apa, tetapi jangan ganggu saya kerana saya cuma mahu berniaga dan berdikari,” katanya. K’Online



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker