Kalau Bersatu dah jadi macam PKR, penyatuan dengan Umno pasti sukar

Share

Ramai di kalangan kawan-kawan saya marah kepada Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bila mengesyorkan Umno meninggalkan kerajaan kerana hasrat Bersatu menjadi parti pelbagai kaum.

Ada yang bertanya dan minta pandangan. Saya jawab saya tidak tahu apa isi hatinya yang sebenar.

Bagaimanapun, sedikit pengalaman bersamanya dalam Parti Semangat 46 dahulu, saya hanya boleh mengagak sahaja.


Kuncinya, kalau hendak tengok dua parti Melayu ini (Bersatu dan Umno) kembali bersatu, asasnya ialah keahlian.

Semangat 46 dan Umno dulu mudah bersatu kembali kerana dasar keahliannya sama. Iaitu Melayu dan Bumiputera.

Dulu orang Semangat 46 pun menentang Umno kerana tak setuju dengan kepimpinan Umno ketika itu. Tun Mahathir Mohamad, Tun Daim (Zainuddin) dan lain-lainnya.


Cerita pun hampir sama. Menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Konflik berlaku. Yang kuat menyahkan yang lemah. Maka tertubuhlah parti baru. Itu sejarah.

Bagi yang berjiwa besar, mereka tetap mahu Melayu bersatu. Waktu panas semuanya tidak kena. Bila sejuk berundinglah balik.

Ramai juga mengharapkan Umno dan Bersatu juga kembali jadi satu parti yang besar. Tak kiralah siapa yang memimpin.


Azmin, kawan-kawannya rindu PKR

Malah ramai di kalangan pemimpin Umno secara terbuka meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali kepada Umno. Memimpin Umno dan jadi perdana menteri. Biar sama-sama gerakkan Putrajaya dari PWTC.

Namun, kalau Bersatu sudah jadi macam PKR, buka keahlian semua kaum, penyatuan pasti sukar. Walaupun Presiden PKR (Anwar Ibrahim) sekarang pun bekas timbalan presiden Umno.

Asal PKR ialah Parti Keadilan Nasional. Kemudian bercantum dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Jadilah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka mudah bercantum kerana corak keahlian mereka sama. PKR tidak mungkin bercantum dengan Umno kerana keahlian berbeza.

Bersatu juga tidak mungkin dapat bercantum dengan Umno kalau sudah guna model PKR. Sebaliknya Bersatu mudah bercantum dengan PKR kalau corak keahliannya sama.

Mungkin inilah hasrat Azmin dan kawan-kawannya apabila menyertai Bersatu. Rindu PKR.

Mungkin Ku Li hendak guna “tingkap-masa” ini buat kejutan. Kalau ada hasrat hendak bertemu, jangan bergerak ke lain arah.

Matlamat itu penting walaupun kenderaan kita berbeza buat masa ini. Mk8ni

Ahmad Shabery Cheek

Leave a Reply