Nur Jazlan sokong saranan Ku Li agar tinggalkan kabinet PN

Ketika pemimpin utamanya menolak gesaan Tengku Razaleigh Hamzah agar menteri dan timbalan menteri Umno meninggalkan kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed tampil menyokong saranan berkenaan.

Nur Jazlan berkata, cadangan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu tepat pada masanya disebabkan Bersatu membuka kemasukan kepada ahli bukan Melayu ke dalam parti itu.

Jelasnya, Bersatu melanggar prinsip asas penubuhan Muafakat Nasional (MN) iaitu muafakat parti Melayu-Islam.

“Jadi, menteri atau timbalan menteri dari Umno perlu letak jawatan dan keluar dari kerajaan Perikatan.



“Cadangan penubuhan sayap bukan Melayu dalam Bersatu bertentangan sama sekali dengan konsep dan keharmonian MN, jadi buat apa ahli Parlimen Umno nak duduk lagi dalam kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Razaleigh atau lebih mesra dengan sapaan Ku Li berkata tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam “pakatan Melayu-Islam yang didukung MN”.

Minggu lalu, Bersatu mengumumkan rancangan menubuhkan sayap parti yang akan membolehkan anggota bersekutu bukan Bumiputera memegang jawatan dalam parti itu.

Idea itu muncul berikutan kemasukan bekas pemimpin PKR Azmin Ali dan penyokongnya ke dalam Bersatu pada Ahad.



Sebahagian penyokong Azmin, termasuk sebilangan besar merupakan bukan bumiputera.

Langkah Bersatu juga mencetuskan rasa tidak senang MIC, yang mempersoalkan mengapa penyokong Azmin dari kalangan bukan Melayu tidak boleh menyertai MIC atau MCA

“Pemimpin-pemimpin dari Umno ini kena ingat kedudukan dan masa depan mereka ditentukan oleh ahli akar umbi yang sebenarnya marah dengan ‘permainan politik’ Bersatu,” kata Nur Jazlan lagi.

Jelas Nur Jazlan, jika Bersatu boleh mengubah haluan dan membuat beberapa langkah berlainan selepas seminggu bersetuju menyertai MN, apakah jaminan yang mereka tidak akan membuat “u-turn” lagi selepas ini. MK



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker