Adun Pemanis, Dr Chong Fat Full sertai PPBM

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Dr Chong Fat Full hari ini mengesahkan telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya beliau secara rasmi menganggotai Bersatu pada Sabtu lepas apabila bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan menyertai parti itu bersama pengikutnya di hadapan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Kongres Negara, satu program menghimpunkan pimpinan akar umbi daripada pelbagai kaum di ibu negara.

Dr Chong, yang merupakan ADUN Bebas sebelum ini, berkata penyertaannya mewakili kaum bukan Bumiputera dalam Bersatu itu dapat mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum.

“Ramai yang tidak sedar bahawa saya adalah ahli dalam Penggerak Komuniti Negara (PKN). Bagi saya, penyertaan saya ini bukanlah game changer tetapi adalah sebagai game player dan perlu menunjukkan peranan serta semangat pasukan.



“Konsep ‘new chapter’ ini mencerminkan bahawa Bersatu adalah parti yang boleh menerima pelbagai kaum dan ia adalah way forward for Malaysia,” kata doktor gigi itu ketika dihubungi Bernama.

Dr Chong, yang juga pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, berkata beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat dan memberikan yang terbaik terutama untuk anak-anak muda di negeri ini.

Turut serta dengan Mohamed Azmin menyertai Bersatu ialah sembilan bekas Ahli Parlimen PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Rashid Hasnon, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin.

Pada 4 Mac, Dr Chong mengumumkan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas, sekali gus menyokong kerajaan Perikatan Nasional di Johor.



Dua hari kemudian, beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah portfolio pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna.
Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker