Polis sahkan kes gangguan seksual pensyarah UM pada siswi ditutup

Share

Polis mengesahkan bahawa kes gangguan seksual profesor madya Universiti Malaya terhadap seorang pelajar telah ditutup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Nik Ros Azhan Abdul Hamid berkata kes ditutup atas dasar suspek telah dikenakan tindakan tatatertib oleh universiti itu.

“Kita sudah rujuk (kes) ke DPP (timbalan pendakwa raya) pada 13 Ogos lalu dan DPP kata tiada pertuduhan ke atas suspek.


“Ia atas alasan suspek telah dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak UM disebabkan aduan mangsa sebelum ini.

“Mangsa sebelum ini buat laporan polis di UM dan UM sudah jalankan siasatan dan ambil tindakan dengan profesor itu. Dia dikenakan tindakan turun pangkat dan sudah bersara Jun lalu tidak silap saya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Nik Ros berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan sudah mengambil keterangan yang diperlukan.


Pada 15 Julai lalu, seorang pelajar UM yang hanya ingin dikenali sebagai Ching membuat laporan polis berhubung perkara itu, selepas mendakwa pihak universiti gagal mengambil tindakan berkesan dan enggan mendedahkan hasil siasatan dalaman.

Keesokannya, UM menjelaskan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap profesor madya terbabit.

Menurut Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim, dia telah ditahan kerja, dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib dan dikenakan hukuman berdasarkan Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun.


“Walau bagaimanapun, ingin dijelaskan bahawa pihak universiti terikat dengan tatacara pengendalian yang menuntut kami menjaga kerahsiaan dan hak privasi semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu hari ini, Ching bersama-sama Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Robin Yap Wen Qing diiringi dua anggota Parlimen PH membuat sidang media di Dewan Rakyat bagi menggesa kes itu diteruskan.

Anggota Parlimen Klang Charles Santiago berkata pelajar itu merasakan haknya sebagai pelajar telah dicabuli dan tidak mendapat keadilan sewajarnya.

Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah pula berkata, dia dimaklumkan polis menelefon Ching bagi memaklumkan perkara itu.

Ching yang memakai kaca mata hitam dan pelitup muka bagaimanapun tidak memberi apa-apa kenyataan.

Untuk rekod, kejadian yang melibatkan sentuhan fizikal yang didakwa berlaku di pejabat profesor tersebut di kampus universiti pada 3 Jun 2019. Mkini

Leave a Reply