‘Tidak layan tuntutan ke atas Sabah’

Share

KUALA LUMPUR – Pendirian Malaysia berhubung isu kedaulatan Sabah amat jelas dan konsisten iaitu tidak akan sekali-kali melayan apa lagi mengiktiraf sebarang bentuk tuntutan oleh mana-mana pihak asing ke atas negeri itu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, isu tuntutan ke atas Sabah kadangkala dimainkan oleh berapa ahli politik di Filipina bagi kepentingan politik dalaman mereka.

Menurutnya, ia termasuk isu pencetakkan peta Sabah dalam pasport Filipina yang bukan langkah terbaharu atau pendirian rasmi republik berkenaan sebaliknya cadangan yang dibawa Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Filipina.


“Baru-baru ini Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Filipina mengadakan proses untuk mewujudkan rang undang-undang gantian (subtitute bill) bagi meminda, mengganti atau memansuhkan Akta Republik (Republic Act) No. 8239 yang juga dikenali sebagai Akta Pasport Filipina (Philippine Passport Act) 1996. Jawatankuasa tersebut dianggotai 46 Ahli Dewan Perwakilan Filipina.

“Cadangan pindaan yang telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa tersebut meliputi antara lain, perkara berhubung tujuan Akta Pasport Filipina, penubuhan pusat pemprosesan dan pengeluaran pasport di setiap wilayah Filipina, permudahkan proses dokumentasi dan senarai kelayakan untuk mendapatkan pasport rasmi serta pasport diplomatik selain penetapan tempoh sah laku pasport Filipina bagi warga emas.

“Berdasarkan maklumat Kementerian Luar Negeri juga, seorang anggota Jawatankuasa berkenaan (Rufus B Rodriguez) dari Cagayan de Oro telah membuat cadangan rang undang-undang pindaan untuk memasukkan kawasan maritim yang dituntut oleh Filipina di Laut Cina Selatan (yang mereka kenali sebagai West Philippine Sea) dan juga wilayah Sabah ke dalam peta Filipina dengan tujuan peta baru tersebut dimasukkan dalam pasport Filipina,” katanya pada sesi Kamar Khas di Bangunan Parlimen di sini hari ini.


Kamarudin berkata, isu yang dimainkan yang kononnya bersifat patriotik pada hakikatnya bersifat kosmetik dalam usaha mereka untuk meraih sokongan rakyat Selatan Filipina.

“Isu ini kerap dibangkitkan menjelang pilihan raya di Filipina. Kita menganggap permainan politik sebegini adalah tindakan yang sia-sia dan tidak bertanggungjawab.

“Jelas sekali tindakan sebegini tidak sensitif selain tidak mengambil kira hubungan baik antara Malaysia dan Republik Filipina dan semangat setiakawan serta kerjasama dalam ASEAN,” katanya.


Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dikatakan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Susulan itu, kerajaan Sabah meminta Wisma Putra mengeluarkan amaran keras kepada Filipina termasuk memanggil Duta Filipina di Malaysia bagi menjelaskan perkara itu.

Leave a Reply