Mahkamah Tinggi tentukan status agama 39 pengikut Ahmadiyah

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan telah mengarahkan Mahkamah Tinggi menentukan status agama 39 pengikut Ahmadiyah yang memfailkan semakan kehakiman terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana cuba mendakwa mereka bagi kesalahan syariah.

Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid ketika mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi berkata, beberapa pengikut Ahmadiyah rakyat Malaysia memiliki MyKad yang menyatakan ‘Islam’ sebagai agama mereka, namun dua fatwa di Selangor telah mengisytihar komuniti tersebut sebagai bukan Islam.

Beliau mendengar kes itu pada 2018 bersama-sama Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof serta Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dan mengumumkan keputusannya pada Selasa lepas.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, para perayu berhujah bahawa sepanjang siasatan, mereka tidak hanya bergantung kepada identiti agama seperti dinyatakan dalam MyKad pengikut Ahmadiyah tetapi juga hakikat bahawa mereka memiliki ciri-ciri orang Melayu untuk menganggap bahawa mereka beragama Islam.

Para perayu terdiri daripada Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama, Pegawai Penyiasat JAIS, JAIS, Ketua Pendakwa Syarie dan Kerajaan Negeri Selangor.

Badariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi tidak menganalisis bukti bagi menentukan sama ada ahli kumpulan itu adalah pengikut tulen fahaman Ahmadi atau menjadi pengikut kerana telah meninggalkan Islam.

“Yang Arif hakim menganggap bahawa responden dalam kes ini sememangnya pengikut Ahmadiyah tanpa mengambil kira penegasan oleh pegawai JAIS yang berkaitan bahawa para perayu tidak dapat merumuskan responden adalah daripada komuniti Ahmadiyah,” katanya.

Beliau berkata, para perayu dan responden tidak mengemukakan sebarang hujah mengenai status sebenar responden di Mahkamah Tinggi dan hakim sepatutnya membenarkan siasatan dilakukan berhubung status agama responden.

Badariah berkata, maklumat dalam MyKad adalah tidak konklusif dalam menentukan status agama seseorang sebagai ‘Islam.’

Beliau berkata, sekiranya responden atau mana-mana pihak membuktikan kes mereka dengan keterangan yang kukuh serta boleh dipercayai bahawa mereka adalah pengikut tulen fahaman Ahmadi, maka Mahkamah Tinggi mempunyai budi bicara untuk membenarkan relif yang dipohon iaitu membatalkan dan melarang siasatan serta pendakwaan Syariah terhadap mereka.

Katanya, seperti orang lain, pengikut Ahmadiyah mempunyai hak bagi kebebasan beragama, namun disebabkan dua sistem perundangan yang terdapat di Malaysia, status mereka sama beragama Islam atau sebaliknya, selain fakta bahawa MyKad telah menyatakan Islam sebagai agama mereka, mungkin menimbulkan kekaburan mengenai status agama mereka.

Badariah berkata, mungkin langkah sewajarnya harus diambil oleh pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengenal pasti secara konklusif siapa yang dianggap sebagai pengikut Ahmadiyah untuk menghalang siasatan lanjut dan pendakwaan terhadap pengikut tulen fahaman Ahmadi.

“Ini juga akan mengkehendaki pengikut Ahmadiyah memiliki dokumen berkaitan seperti MyKad (bagi rakyat Malaysia) yang tidak kabur dari segi identiti agama mereka,” katanya.

Kesemua 39 individu terbabit, yang terdiri daripada 28 rakyat Malaysia, lapan rakyat Pakistan, dua rakyat India dan seorang warga Indonesia, telah memindahkan markas mereka dari Kampung Baru ke Kampung Nakhoda, Batu Caves di mana mereka melakukan ibadat seperti bersembahyang di pekarangan markas mereka.

Pada 11 April 2014, JAIS menyerbu premis itu atas alasan responden telah menggunakannya untuk melakukan ibadat yang melanggar Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa orang Islam adalah dilarang, tanpa kebenaran bertulis, daripada mendirikan bangunan dengan tujuan menggunakan ia untuk aktiviti keagamaan.

Responden yang hadir di premis itu telah ditangkap, ditahan dan dimaklumkan mengenai kemungkinan berdepan pendakwaan di Mahkamah Syariah.

Mereka kemudian telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman selepas menerima dokumen yang memaksa mereka hadir di Mahkamah Syariah untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka.

Pada 6 Julai 2018, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak berkuasa agama Selangor tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pengikut fahaman Ahmadi di negeri itu susulan fatwa yang diwartakannya pada 2001 yang menganggap kumpulan itu sebagai murtad.

Mahkamah Tinggi membenarkan relif yang dipohon oleh 39 pengikut Ahmadi iaitu bahawa pihak berkuasa agama tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa mereka bagi kesalahan di bawah enakmen jenayah Islam negeri itu.

Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian daripada rayuan perayu dan mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi.- Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker