Kerajaan setuju yuran IPTA dikurangkan 15%

Share

Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan 15 peratus yuran pengajian bagi mahasiswa dan mahasiswi di semua universiti awam di negara.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata. perkara itu dicapai hasil rundingan yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa akibat penularan wabak Covid-19.

“Pengurangan yuran bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 untuk pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM72 juta.


“Seramai 523,318 pelajar universiti awam di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada keputusan ini,” jawab Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mansor Othman

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizan Mohd Dun yang ingin tahu mengenai status yuran pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terkesan dengan penularan pendemik Covid-19.

Selain pengurangan yuran itu, Dr Mansor juga berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan-bantuan lain kepada pelajar universiti awam antaranya bantuan sekali beri (one-off) sebanyak RM200 kepada setiap pelajar IPT dan penghantaran pulang pelajar.


Bagi bantuan secara one-off sebanyak RM200 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, peruntukan sebanyak RM168,292,800 telah dimanfaatkan kepada 841,464 pelajar.

Peruntukan sebanyak RM52, 202,412 disalurkan kepada lebih 82,000 pelajar yang berada di dalam kampus semasa tempoh PKP bagi penyediaan makanan mereka.

Malah penghantaran pulang 57,565 pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM17.4 juta.


“Peminjam PTPTN juga telah diberi penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan bermula 19 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2020.

“Inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah bayaran balik yang ditangguhkan sebanyak RM750 juta,” jelas Mansor lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply