“Cari sakit, dapat sakit” – Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa UMNO tiada pilihan lain melainkan menyokong penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, jika sokongan itu ditarik semula, UMNO juga akan jatuh dan hilang kuasa.

Dalam masa sama, katanya lagi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN juga bergantung kepada sokongan UMNO untuk terus menjadi kerajaan.

“Harapan supaya PN menjadi parti gabungan tiga buah parti iaitu Bersatu, PAS dan UMNO tidak jadi kenyataan.



UMNO mendakwa bahawa ahlinya hanya dibenar sokong Bersatu supaya Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) untuk jatuhkan kerajaan PH. Dan pemimpin Bersatu pun telan bulat-bulat rancangan jahat ini.

“Sekarang Bersatu dan Perikatan Nasional bergantung kepada UMNO. Jika orang UMNO tidak sokong jatuhlah PN.

Sebaliknya, jika UMNO tidak sokong, mereka juga akan jatuh. Sebab itu UMNO terpaksa sokong,” kata Dr Mahathir lagi.
Beliau berkata demikian dalam catatan terbaharu di blognya bertajuk – “Kekeliruan”.

Mengulas lanjut, bekas Pengerusi PH itu berkata, PN berada dalam keadaan bahaya memandangkan terdapat lima Ahli Parlimen UMNO yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah dan boleh hilang kelayakan sekiranya didapati bersalah.



Seorang Ahli Parlimen pula, katanya, sudah pun disabitkan atas kesalahan dan sedang menunggu proses rayuan, katanya lagi.

Atas faktor itu, Dr Mahathir mendakwa, Bersatu terpaksa menggugurkan prinsipnya sebagai parti mewakili Melayu dan Bumiputera dengan cara membuka ruang yang lebih luas kepada semua kaum di negara ini.

“Untuk elak dari ini berlaku, Perdana Menteri perlu cari ganti. Maka Bersatu pun gugur kedudukan sebagai parti Pribumi dan membuka keahlian kepada semua kaum. Kekalkah nama PPBM. Ini kali keempat Bersatu mungkir janji.

“Sekarang Bersatu membuat keputusan untuk gabung dengan Muafakat. Tetapi Muafakat adalah gabungan parti Melayu Islam. Bersatu parti berbilang kaum dan agama. Apa jadi kepada Muafakat. Masih Melayu Islamkah?” soal bekas Perdana Menteri itu lagi.



Susulan situasi itu, Dr Mahathir berkata, UMNO pula telah terpecah kepada kumpulan yang menyokong kemasukan Bersatu ke Muafakat Nasional dan satu lagi kumpulan yang menentang kemasukan itu.

Situasi yang sama juga berlaku kepada PAS, katanya lagi.

Dengan penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan beliau sendiri, Dr Mahathir berkata, Bersatu terus kehilangan sebahagian besar akar umbi.

“Perdana Menteri takut hilang jawatan jika kehilangan enam kerusi. Sedang mencari pengganti. Dari mana. Mungkin dari Keadilan. Tetapi kosnya tinggi.



“Datang Pejuang. Bersatu hilang akar umbi. Banyak pemimpin tapi kurang yang hendak dipimpin. Jadi parti kosong. Akar umbi pindah ke Pejuang.

“Dalam PRU Bersatu tidak akan dapat sokongan UMNO dan PAS, tidak juga dari PH,” kata Dr Mahathir.

Atas sebab itu, beliau berkata, Bersatu akhirnya akan dibubarkan dan menyertai UMNO sebagai langkah terakhir.

“Cari sakit, dapat sakit,” katanya merujuk kepada Muhyiddin dan Bersatu. Awani



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker