Kalau tak puas hati, sila bertanding sendirian PRU nanti – Pemuda Pas

ahmad fadhli pasDewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) meneliti dengan serius perkembangan berlaku antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu penggunaan bendera Barisan Nasional (BN), penyertaan parti Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) dan pendaftaran PN.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pemuda Pas berpandangan, PN mahupun MN ialah manifestasi daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sehingga membawa kepada jatuhnya kerajaan itu.

Katanya, ia berlaku apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terlantiknya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan situasi pada masa itu.

“Rata-rata rakyat hakikatnya cukup berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin. Ditambah dengan suasana pandemik Covid-19 pada hari ini, kita yakin rakyat tidak mahu ‘dihidangkan’ dengan cerita politik yang tidak boleh diterjemahkan untuk menjadi hidangan mereka sekeluarga di atas meja.



“Dengan isu pekerja kehilangan mata pencarian hari ini, pertumbuhan ekonomi yang membimbangkan dan pelbagai isu yang berlaku adalah sangat tidak sesuai untuk rakyat dihidangkan dengan pertembungan di antara parti yang sama-sama mendokong kerajaan di bawah Muhyiddin,” katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pimpinan parti dalam kerajaan, bawalah pandangan ke meja rundingan, tidak perlu berdebat secara terbuka yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat.

“Bahkan, semakin menambahkan tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat dan keputusan dalaman yang dibincangkan di peringkat tertinggi mestilah secara telus diterangkan dengan baik dan positif kepada rakyat, bukan hanya bersifat kepentingan peribadi.

“Jika semua pihak kelihatan lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, Pemuda Pas mencadangkan tidak perlu lagi diadakan rundingan dan semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette



Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker