Gesa KPM tarik balik lulusan UEC masuk IPG, kemudian haramkan!

Share

UEC tidak boleh diiktiraf untuk kemasukan mana-mana universiti

BANGI, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menarik balik kemasukan graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC) UIAM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, KPM perlu tegas menyatakan UEC – yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan dan nilai kebangsaan – tidak boleh diiktiraf bagi memasuki mana-mana universiti kerajaan ataupun swasta.

Serentak itu, beliau menggesa kementerian bertindak berani menarik balik program yang sudah bermula sejak tahun 2011 itu seterusnya mengharamkan UEC.


“Apakah jurusan lain sama ada pada peringkat sekolah seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), universiti, IPG yang mengambil bahasa Cina tidak boleh diambil bekerja untuk mengajar bahasa itu.

“Ini persoalan saya. Jika UEC diluluskan, maka yang lain-lain boleh diluluskan. UEC tidak patut diiktiraf dan pengiktirafan sijil itu di IPG hendaklah ditarik balik sebelum diharamkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Ahmad Murad berkata, kerajaan tidak pernah menolak dan menafikan pelajaran bahasa vernakular yang lain.


“Maksudnya mana-mana bahasa seperti Tamil, Mandarin dan bahasa Bumiputera yang lain boleh diajar dan digalakkan diajar di sekolah sebagai subjek (bahasa).

“Kerajaan tidak pernah menyekat dan menghalang pengajaran bahasa vernakular di Malaysia. Oleh itu perlu diingatkan kepada semua warganegara ia sebagai satu pinsip dan falsafah pendidikan pengajaran bahasa lain.

“Tetapi mengapa perlu diambil lulusan UEC? Sebenarnya kelulusan UEC ini tidak boleh diiktiraf!,” tegasnya.


Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, menjelaskan kemasukan graduan UEC untuk mengikuti PISMP di Institut Pendidikan Guru IPG, adalah bagi memenuhi keperluan dalam bidang pengkhususan bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Jelas beliau, program terbabit sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2011, malah diteruskan ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan pada 2012 menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang bahasa Cina dengan syarat mereka lulus SPM dan memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian dalam bahasa Melayu.

Media juga sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf UEC dalam pertemuan beliau bersama pimpinan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong) pada Julai lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan. Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Leave a Reply