Wanita pakai gelang ‘pink’ bolos dari kawasan Temco dikompaun

SEORANG wanita memakai gelang merah jambu yang memboloskan diri keluar dari luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) dikompaun RM1,000 selepas didapati bersalah keluar dari kawasan dibenarkan.

Wanita berusia 30-an itu ditahan pengurusan sebuah pasar raya di Jitra ketika hendak membeli barang keperluan asas di situ, beberapa hari lalu.

Individu yang memakai gelang merah jambu hanya dibenarkan keluar kira-kira satu kilometer di kawasan Temco saja dan jika melebihi had dibenarkan, mereka akan dikenakan tindakan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihak pengurusan pasar raya itu menghubungi polis sebelum menyerahkannya untuk tindakan lanjut.



Beliau berkata, wanita itu memberi alasan tidak tahu dia hanya dibenarkan membeli barangan di kawasan Temco saja.

“Kes itu disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Berkemungkinan besar dia keluar melalui lorong tikus kerana semua jalan besar kita dah tutup di lapan sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan sejak 3 Ogos lalu sepanjang Temco berkuat kuasa sehingga terlepas ke pasar raya itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Ismail berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Temco ini dilaksanakan, sebanyak 82 kompaun dikeluarkan kerana kesalahan ingkar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di daerah ini.



“Seramai 224 anggota polis ditempatkan dalam penugasan Ops Covid yang turut dibantu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Setakat ini, semua penduduk di tiga kawasan iaitu Napoh, Jitra dan Megat Dewa sudah menjalani ujian swab kesihatan berikutan penularan kluster PUI Sivagangga di daerah ini bulan lalu,” katanya.

Mohd Ismail berkata, sebelum ini ada penduduk yang takut untuk menjalani ujian itu kerana bimbang dikuarantin dalam tempoh yang panjang menyebabkan bekalan makanan habis.

Namun, katanya, bekalan makanan terus dihantar agensi berkaitan ke kawasan rumah penduduk yang terjejas. HM



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker