Bersatu Selangor nafi ada bahagian terbubar

SHAH ALAM, 10 Ogos — Bersatu Selangor menafikan dakwaan ada beberapa bahagian parti berkenaan di negeri ini lumpuh dan terbubar.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu negeri Datuk Abdul Rashid Asari berkata pembubaran sesuatu peringkat bahagian tidak boleh berlaku dengan hanya ahli jawatankuasa (AJK) atau sekumpulan ahli mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.

“Untuk faham isu ini, saya menyeru semua ahli (Bersatu) supaya merujuk kepada perlembagaan parti Fasal 19.9 dan Fasal 19.10.

“Bagi isu pembubaran (Bahagian) pula, sila rujuk perlembagaan parti Fasal 30. Perkara ini hanya boleh dilakukan setelah notis 14 hari diberikan oleh Setiausaha Bahagian (Fasal 18.7 Perlembagaan Bersatu) bagi mengadakan persidangan khas tersebut,” katanya pada sidang media khas Bersatu Selangor di sini, hari ini.

Jelasnya mana-mana AJK Bahagian yang keluar daripada Bersatu, mereka hanya boleh membubarkan peringkat jawatankuasa sahaja, bukan keseluruhan bahagian berkenaan kerana sijil pendaftaran dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

Pada Sabtu dan Ahad lepas, Bersatu Bahagian Kuala Selangor, Klang dan Bangi mengumumkan pembubaran masing-masing selepas ketua bahagiannya, AJK serta ahli akar umbi bertindak keluar daripada parti berkenaan serta merta.

Abdul Rashid yang juga naib presiden Bersatu berkata setakat ini, pihaknya masih belum menerima borang permohonan untuk keluar parti daripada ahli mana-mana bahagian termasuk tiga ketua bahagian tersebut.

Katanya ketua bahagian yang bertindak keluar parti akan dikenakan tindakan selaras dengan perlembagaan parti dan bagi memastikan ahli di peringkat Bahagian itu tidak  teraniaya, badan pimpinan negeri akan melaksanakan apa yang perlu untuk memastikan bahagian tersebut dapat bergerak seperti sebelumnya.

Ditanya sama ada Bersatu Selangor mungkin terjejas dengan tindakan keluar parti oleh ahli akar umbi, Abdul Rashid berkata ia  hanya melibatkan segelintir sahaja sedangkan Selangor mempunyai 54,000 ahli berdaftar.

Pada masa sama, katanya Perikatan Nasional (PN) sudah menghantar borang permohonan untuk mendaftarkan PN secara sah kepada ROS minggu lepas dan dijangka keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker