Kerajaan setuju alih hukuman penjara akibat dadah kepada pemulihan

PARLIMEN | Kerajaan bersetuju mewujudkan satu dasar berhubung pengalihan hukuman penyalahgunaan dadah daripada penjara kepada program rawatan dan pemulihan, maklum Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau menjelaskan kerajaan sedang memperhalusi akta baru bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Hamzah dipetik Bernama berkata penyahjenayahan kesalahan penyalahgunaan dadah itu bertujuan meningkatkan akses untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah untuk mereka yang memerlukannya supaya dapat kembali kepada masyarakat.

“Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang itu juga bersetuju supaya dasar pengalihan ini diperhalusi dalam akta baru iaitu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang sedang dirangka,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.



Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri bersama Jabatan Penjara telah menyediakan kerangka reformasi sistem penjara bagi menggariskan penambahbaikan skop pengupayaan kakitangan, antaranya daripada aspek layanan, keselamatan dan reintegrasi.

Rawat bukan hukum

Langkah terbaru pentadbiran PN ini dilihat meneruskan kesinambungan dasar nyah jenayah dadah yang diperkenalkan kerajaan PH – suatu polisi menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan melayan penagih bukan sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat oleh profesional perubatan.

Polisi ini menumpukan kepada pengurangan mudarat terhadap diri penagih, masyarakat dan negara.



Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menjadi menteri dalam negeri pentadbiran PH pada 24 Jun 2019 berkata penagih dadah di negara kini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Takrifan itu dicapai susulan perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan yang bersetuju untuk melaksanakan ‘decriminalization‘ ke atas penagih dadah.

Muhyiddin berkata pelaksanaan ‘decriminalization‘ itu akan melibatkan program rawatan dalam komuniti dengan memperkasakan peranan ahli keluarga dan masyarakat.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika itu menolak langkah berkaitan dasar menangani masalah penagihan dadah tersebut, menggesa supaya kerajaan jangan mendekriminalisasi penggunaan dadah.



Sementara itu, Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri pada 18 Feb berkata, kerajaan akan menilai dan mengkaji semula dasar serta undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini termasuk hukuman mati mandatori.

Jelas beliau, langkah tersebut diambil bagi mengambil pendekatan yang lebih rasional dalam usaha menangani masalah berkenaan mengikut trend semasa.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Mahathir berkata undang-undang tersebut perlu dikaji kerana ia dilihat terlalu keras.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata mereka yang menjadi penagih dadah akan dirawat sebagai pesakit.



Tambah Dr Mahathir, trend penyalahgunaan dadah kini sudah berubah daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin kepada jenis sintetik yang lebih memudaratkan.

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker