Kerajaan perlu strategi khusus bantu ekonomi luar bandar – Tok Mat

Share

Timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, kerajaan memerlukan perhatian dan strategi khusus bagi membantu masyarakat luar bandar menghadapi kesan pandemik Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, kadar kemiskinan luar bandar pasti akan meningkat dengan drastik susulan wabak itu dan langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menangani penularannya.

“Malah dengan semakan kadar kemiskinan terbaru, jumlah kemiskinan luar bandar telah berganda.


“Ini akan menyebabkan jurang keberadaan bandar dan luar bandar semakin melebar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad turut mencadangkan beberapa strategi, antaranya meminta kerajaan melakukan sesuatu yang radikal tentang Felda.

Katanya, kerajaan harus memberikan insentif kepada agensi itu dengan segera bagi membangunkan asetnya melalui kepelbagaian penanaman dan penternakan.


“Bidang penternakan adalah sangat berpotensi dan mampu mengurangkan kebergantungan kita kepada import daging luar,” katanya.

Mohamad juga berkata, kerajaan perlu “menyegarkan semua” industri perikanan secara komprehensif.

Katanya, ikan mesti menjadi sumber yang cukup kepada negara dengan lebihannya untuk dieksport.


“Malaysia adalah negara lautan dan potensi lautan kita sangat luar biasa, tetapi tidak dioptimumkan,” katanya.

Mohamad juga mencadangkan, Malaysia mesti mempunyai strategi khusus berhubung beberapa negara seperti di Timur Tengah dengan berperanan sebagai “lembah makanan” negara terbabit.

Katanya, kekurangan tanah subur, air dan pekerja menjadikan negara Timur Tengah sangat bergantung kepada import bahan makanan.

“Malaysia mesti mendahului persaingan dengan menawarkan kepakaran, sumber dan logistik untuk menjadi pengeksport utama sumber makanan kepada negara Timur Tengah,” katanya.

Mohamad berkata, kemahiran generasi muda luar bandar juga perlu ditingkatkan.

Katanya, generasi muda tidak boleh berhijrah ke bandar dalam keadaan ekonomi yang memburuk.

“Mereka mesti diberikan kemahiran sesuai dengan kepentingan ekonomi luar bandar dan membangunkan daerah kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kawasan luar bandar mesti dijadikan hab pertumbuhan baru yang lestari kepada ekonomi Malaysia.

Katanya, ekonomi tradisional juga sebenarnya merupakan benteng utama kepada kemapanan ekonomi negara.

“Membelakangkan potensi luar bandar adalah membelakangkan potensi sebenar Malaysia,” katanya. FMT

One thought on “Kerajaan perlu strategi khusus bantu ekonomi luar bandar – Tok Mat

  • August 4, 2020 at 10:59
    Permalink

    Setuju atas pandangan Tok Mat.. tapi ada satu lagi aspek yang perlu dibantu iaitu pemasaran hasil2 dari luar bandar..
    Amat yakin pada anak2 muda diluar bandar mampu untuk menghasilkan produk dan menjana ekonomi.. tetapi untuk pemasaran perlu sangat2 dibantu… apatah lagi sering disabotaj dan didengki oleh pemborong dan orang tengah..

    Reply

Leave a Reply