Penganalisis jangka Warisan, sekutu tak terkecuali masalah rebut kerusi

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menjangkakan isu perebutan kerusi yang menjadi perang mulut dalam kalangan pemimpin PPBM dan Umno menjelang Pilihan Raya Negeri di Sabah, akan turut dihadapi Warisan, Pakatan Harapan (PH) serta Upko.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, walaupun terlalu awal untuk membincangkan isu pembahagian kerusi ketika ini, namun beliau percaya Warisan pimpinan Shafie Apdal perlu mengorbankan beberapa kerusi untuk diperuntukkan kepada suku kaum tertentu.

“Masing-masing sedang senarai pendek nama calon sama seperti Warisan, PH dan Upko.

“Saya percaya mereka juga berdepan kepincangan berhubung soal pengagihan kerusi kerana pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Upko bertanding atas tiket Barisan Nasional.



“Kali ini, Warisan terpaksa melepaskan beberapa kerusi yang diperuntukkan kepada suku kaum Kadazan Dusun, Murut dan Rungus kepada Upko. Cumanya sekarang terlalu awal untuk bincang soal pembahagian kerusi,” katanya kepada FMT.

Upko yang meninggalkan BN untuk bekerjasama dengan Warisan bagi membentuk kerajaan Sabah pada Mei 2018 memenangi 5 kerusi DUN di Paginatan, Kadamaian, Nabawan, Kuala Penyu dan Kuamut pada PRU14.

Mengulas perang mulut pemimpin Umno-PPBM dalam isu pembahagian kerusi, Lee percaya ada pihak tertentu yang cuba memburukkan nama kedua-dua parti itu.

“Kita mesti sedar, hubungan Umno-PPBM di Sabah tidak seperti Semenanjung. Jangan lupa juga, anak bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman yang juga Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa berada dalam PPBM Sabah.



“Semua daripada PPBM Sabah merupakan rakan seperjuangan dalam Umno dahulu. Umno juga sudah lama bertapak di Sabah, bahkan Shafie juga membina kekuatan menggunakan platform Umno sepanjang tempoh penglibatan beliau dalam politik.”

Lee berkata, Warisan perlu sedar berdasarkan keputusan PRU14 lalu, Umno masih mendapat jumlah kerusi Bumiputera Islam, walaupun undi daripada Bumiputera Islam di Sabah berpecah.

“Hanya kerusi majoriti Cina di kawasan bandar dan separa bandar yang menyumbang kepada Warisan-PH hingga terikat jumlah sama, iaitu 29 kerusi dengan BN dan kuasa ke-3 ketika itu dari parti STAR.”

Seorang lagi penganalisis, Mohammed Raheezal Shah Abdul Karim dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata, masih sukar meramalkan siapakah yang akan memperoleh manfaat sekiranya pertandingan 3 penjuru membabitkan PPBM-Umno dan sebuah parti lawan.



“Ia boleh beri manfaat antara Umno dan PPBM. Kami pernah buat simulasi dan analisis dahulu yang menunjukkan sekiranya berlaku pertembungan lebih 2 penjuru, ia akan beri kelebihan kepada BN, tetapi ini berdasarkan data sebelum PRU14 lalu.”

Baginya, Umno Sabah masih mempunyai sokongan dalam kalangan masyarakat Sabah, walaupun sebilangan pemimpin dan ahli parti itu kini menyokong PPBM diketuai Muhyiddin Yassin.

“Susah juga untuk dinilai sama ada PPBM mempunyai kekuatan untuk bertanding 47 kerusi DUN di Sabah kerana tidak disebutkan secara spesifik kawasan kerusi ini.”

Minggu lalu, Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor dilaporkan berkata, parti itu mengenal pasti 45 kerusi untuk ditandingi, namun ia sedia berbincang dengan Perikatan Nasional (PN), Umno dan BN.



Semalam, Umno Sabah berjanji tidak akan mengetepikan parti lain yang bersama menentang kerajaan diterajui Warisan dan ia akan berunding dengan BN, seterusnya rakan-rakan parti lain yang tidak pro-Warisan berhubung pengagihan kerusi untuk PRN Sabah.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker