Lebih banyak koperasi kariah masjid baharu, koperasi dorman dipulihkan – Wan Junaidi

Penubuhan koperasi kariah masjid baharu dan pemulihan koperasi tidak aktif dan dorman akan dilaksanakan dalam program pemantapan koperasi dan pembangunan usahawan bagi meningkatkan aktiviti ekonomi ummah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata melalui kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), antara yang dicadangkan adalah memperluaskan penubuhan koperasi kariah masjid ke seluruh negara.

Menurut Wan Junaidi, berdasarkan rekod pendaftaran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Disember 2019, terdapat 446 koperasi kariah masjid yang didaftarkan dengan keahlian 30,515 serta mencatatkan pendapatan hanya RM15.37 juta.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 300 adalah koperasi aktif, 69 koperasi tidak aktif dan 77 koperasi dorman.



“Ini menunjukkan gerakan koperasi kariah masjid mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan.

“Koperasi kariah masjid yang tidak aktif dan dorman perlu dibantu untuk dipulihkan dan diperkenalkan kepada aktiviti perniagaan yang berpotensi bagi memacu keyakinan kariah di samping menyumbang kepada pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata koperasi kariah masjid dengan keanggotaan minima seramai 50 orang dan keahlian yang terbuka kepada masyarakat setempat, merupakan satu inisiatif untuk membangunkan ekonomi kariah masjid melalui aktiviti perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada ahli kariah.

Wan Junaidi berkata MEDAC dan JAKIM juga akan meneroka kerjasama bagi menambah nilai komersial ke atas produk usahawan dan koperasi melalui pensijilan halal, memajukan tanah-tanah wakaf di seluruh negara untuk kemaslahatan ummah dan menambah nilai Program Usahawan Asnaf.
BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker