‘Mak Cik Kiah beli Myvi, Encik Hong beli Mercedes’ jadi pertikaian
Dua anggota Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) hari ini membidas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali kerana didakwa menggunakan stereotaip kaum di Parlimen.
Ini setelah Azmin, ketika bercakap mengenai insentif kerajaan bagi pembelian kereta, menggunakan contoh Mak Cik Kiah membeli Myvi dan Encik Hong membeli Mercedes Benz S560.
Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) kemudian mempersoalkan kenyataan itu dengan mengatakan: “Ini racial stereotyping”
Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) pula berkata ‘Khalid rasis’.
Bagaimanapun, Azmin mempertahankan kenyataannya.
“Saya sebut tadi sebagai satu contoh. Saya boleh tukar, satu lagi contoh sekiranya Encik Khalid guna Mercedes-Benz …” katanya menyebabkan anggota parlimen yang lain ketawa.
Khalid membalas dengan mengatakan Azmin harus menggunakan istilah “YB” dan bukannya “Encik”.
Ong Kian Ming (DAP-Serdang) kemudian menambah bahawa Azmin tidak perlu menggunakan stereotaip perkauman.
“Tak perlu la stereotaip, Cina beli Mercedez, Melayu beli Myvi, ni beri gambaran yang kurang tepat,” katanya.
Menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi negara (Penjana), kereta pemasangan tempatan (CKD) diberikan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), manakala kereta import diberikan diskaun 50 peratus SST. Mkini