Pengarah syarikat tak mengaku pecah amanah RM4.95 juta

GEORGETOWN – Seorang pengarah syarikat teknologi maklumat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah wang deposit melibatkan RM4.95 juta daripada seorang lelaki di antara Mac 2016 hingga Mac 2018.

S Hariharan, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Mazdi Abdul Hamid di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima deposit daripada R Karunamoorthy berjumlah RM4.95 juta tanpa lesen yang sah yang diberikan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di antara 2.55 petang, 25 Mac 2016 hingga 3.53 petang, 1 Mac 2018 di Maybank Lebuh Union di sini.



Oleh demikian, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya Darrsini sementara tertuduh diwakili peguam, P Vijay Esvaren.

Dalam pendakwaannya, Preeya memohon wang jaminan RM100,000 kepada tertuduh selain memohon tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Vijay memohon wang jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya telah memberi kerjasama sepanjang siasatan kes.



Vijay juga memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak mampu membayar sewa premis perniagaannya di Bangsar berjumlah RM3,000 sejak lima bulan lalu selain perlu menanggung ibu bapa dan isterinya.

Mazdi kemudiannya menetapkan wang jaminan RM60,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Beliau turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

SH



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker