Anifah bidas Hishammuddin isu pencerobohan perairan Malaysia

Dakwaan tiada lagi kapal China ceroboh perairan Malaysia dibidas bekas menteri luar

Bekas menteri luar hari ini membidas dakwaan Hishammuddin Hussein bahawa tiada lagi kapal China ceroboh perairan negara sejak beliau memimpin Wisma Putra, mengatakan menteri sama ada tidak boleh terima hakikat atau tidak tahu faktanya.

Anifah Aman, yang menggalas portfolio itu dari 2009 hingga 2018 berkata, pada April sekumpulan kapal penguatkuasa China dilihat mengiringi sebuah kapal peninjau China di perairan Malaysia.

Beliau juga dimaklumkan kapal pengawal pantai China dilihat berdekatan Beting Patinggi Ali pada Mei, Jun dan Julai.



“Saya terkejut dengan kenyataan menteri. Beliau sama ada tidak boleh terima hakikat atau tidak tahu faktanya. Lebih teruk lagi, beliau bermain politik dengan kepentingan maritim dan strategik Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Hishammuddin membuat dakwaan itu semasa menjawab laporan Jabatan Audit Negara yang melaporkan kapal China menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Beliau juga berkata bagaimana Malaysia memastikan tiada lagi pencerobohan adalah antara Beijing dan Putrajaya.

Anifah berkata sebagai sebuah negara yang secara sah berdaulat ke atas perairan di Laut China Selatan, Malaysia tidak patut teragak-agak membantah sepenuhnya kegiatan tanpa izin kapal asing dalam perairannya.



Lagipun, beliau berkata, kementerian merasakan “wajar” mengeluarkan kenyataan berhubung serangan dron dan peluru berpandu ke atas Arab Saudi pada 25 Jun dan 12 Julai.

“Tentunya tidaklah keterlaluan untuk berharap kementerian sekurang-kurangnya memanggil duta China untuk menyatakan perasaan tidak senang hati Malaysia terhadap kegiatan tanpa izin kapal pengawal pantai China dalam kawasan maritim Malaysia di Laut China Selatan.”

Beliau menambah Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan China dalam kawasan perairan di Laut China Selatan.

Beliau menggesa kerajaan menegakkan pendiriannya bagi memastikan kepentingan maritim dan strategik negara tidak dalam bahaya.



“Kegagalan berbuat demikian akan merugikan negara.”

Bagaimanapun, beliau berkata membuat pendirian untuk mempertahankan kepentingan Malaysia bukan bermakna Putrajaya harus berkonfrontasi.

Sebaliknya, Malaysia harus memastikan proses undang-undang dan diplomasi dihormati sepenuhnya dan kedaulatan undang-undang ditegakkan sama ada undang-undang antarabangsa atau Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker