Covid-19 : 14 kes baru hari ini

14 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 4 pesakit disahkan sembuh hari ini.

Jumlah kematian akibat virus itu kekal 122 orang susulan tiada kematian baru dicatatkan..

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataannya, 3 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 2 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,718 kes Covid-19 dengan 8,519 daripadanya sembuh.



Ketika ini, 77 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Noor Hisham berkata, daripada 14 kes baru yang dilaporkan, 3 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan melibatkan warganegara Malaysia.

Katanya, daripada 11 kes penularan dalam negara pula, 3 kes melibatkan warga tempatan, dan 8 kes dalam kalangan bukan warganegara.

“Perincian kes jangkitan dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia (3 kes) adalah di Sarawak ada 2 kes, iaitu 1 kes saringan bergejala yang menjalani saringan di pusat perubatan di Kuching dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak setelah didapati positif Covid-19.



“1 kes lain merupakan kontak rapat kes ke-8694, iaitu sebahagian daripada kluster Kejuruteraan Kuching.

“Di Sabah ada 1 kes saringan pra rujukan ke Hospital Keningau.

Kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara adalah 8 kes iaitu kes saringan kontak rapat kepada kes ke-8629 dan kes ke-8630 di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang,” katanya.

Noor Hisham berkata, sehingga hari ini sebanyak 8 kes positif baru dilaporkan melibatkan kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Sepang, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 72 kes daripada 1,477 saringan.



Katanya, 8 kes ini dikesan daripada saringan 115 Orang Kena Tahan (OKT).

“Ini merupakan saringan ulangan, iaitu saringan kontak rapat ke atas 115 OKT yang ditempatkan di Blok C pada 10 Julai 2020.

“Kesemua kes positif kluster ini adalah melibatkan bukan warganegara.

“Mereka sebelum ini sememangnya telah diasingkan, iaitu di dalam DTI Sepang dan kini kes positif Covid-19 dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat,” katanya.



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker