DATA PENGUNDI: KERAJAAN BARU TIDAK TELUS

Dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lepas (4 Julai 2019), Datuk Seri Haji Ahmad Bin Haji Maslan [Pontian] telah meminta data mengenai jumlah terkini rakyat yang belum mendaftar mengundi mengikut kaum.

Jawapan yang diberikan adalah, sehingga 31 Mac 2019, jumlah warganegara yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah seramai 3.99 juta orang tetapi data mengikut kaum (dan agama) pula dikatakan “dilarang sama sekali untuk didedahkan kepada umum selaras dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 9 Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957 [Akta 31] dan Seksyen 4 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709]”.

Agak pelik juga mendengar alasan ini kerana di bawah kerajaan lama dahulu sering diperolehi kenyataan mengenai data pengundi mengikut kaum ini, antaranya ialah:
(1) Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (waktu itu), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, pada 31 Januari 2012 bahawa “orang Melayu dikesan paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi”.
(2) Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (waktu itu), Datuk Seri Shahidan Kassim, pada 30 Jun 2014 bahawa “kaum Cina paling ramai mendaftar sebagai pengundi manakala kaum Melayu dan bumiputera paling sedikit”.
(3) Pengeluaran statistik Suruhanjaya Pilihan Raya pada 5 Januari 2016 bahawa majoriti daripada warganegara yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah daripada kalangan Melayu dan Bumiputera.

Perkara 113 (1) Perlembagaan Persekutuan sekadar memperuntukkan “Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang hendaklah ditubuhkan mengikut Perkara 114, yang, tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan, hendaklah menjalankan pilihan raya ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dan menyediakan dan menyemak daftar pemilih bagi pilihan raya itu”.



Seksyen 9 (1) Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957 [Akta 31] sekadar memperuntukkan “Tiada seorang pun anggota Suruhanjaya Pilihan Raya atau mana-mana orang lain, tanpa kebenaran bertulis Yang di-Pertuan Agong, boleh menyiarkan atau menzahirkan, kepada mana-mana orang yang tidak diberi kebenaran atau selain dalam perjalanan kewajipan, kandungan atau mana-mana bahagian kandungan apa-apa dokumen, komunikasi atau maklumat jua pun yang telah sampai kepada pengetahuannya dalam perjalanan kewajipannya sebagai anggota berkenaan dengan apa-apa perkara yang berhubungan dengan penjalanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya mana-mana fungsinya”.

Seksyen 4 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] sekadar memperuntukkan ““data peribadi” ertinya apa-apa maklumat yang berkenaan dengan transaksi komersial” manakala ““data peribadi sensitif” ertinya apa-apa data peribadi yang mengandungi maklumat tentang kesihatan atau keadaan fizikal atau mental seorang subjek data, pendapat politiknya, kepercayaan agamanya atau kepercayaan lain yang bersifat seumpamanya, pelakuan atau pengataan pelakuan apa-apa kesalahan olehnya atau apa-apa data peribadi lain yang ditentukan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta”.

Pelik apa yang rahsia sangat mengenai data pengundi mengikut kaum ini.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker