TEPISAN TUN DR MAHATHIR TERHADAP ASAKAN-ASAKAN DAP

Share

(1) “Manifesto Pakatan Harapan tidak menyatakan secara jelas apakah jawatan-jawatan yang diklasifikasikan sebagai Jawatan Utama Perkhidmatan Awam”.

(2) “Tiada jawatan yang dilantik terus oleh YAB Perdana Menteri kerana pelantikan dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong”.

(3) “YAB Perdana Menteri juga tidak terikat untuk merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana mekanisme yang sesuai pada masa ini masih dihalusi”.


(4) “Jawatankuasa ini sedang mengenalpasti jawatan-jawatan yang diklasifikasikan sebagai Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam serta mengkaji mekanisme terbaik bagi ia menjalankan fungsinya”.

(5) “Sehingga mekanisme dan kerangka undang-undang yang baru dibuat, prosedur sedia ada akan terus digunapakai bagi memastikan urusan Kerajaan tidak terjejas”.

(6) “Cadangan membentuk jawatankuasa di peringkat Parlimen untuk mengesahkan pelantikan jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam atau negara memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan”.


PERTANYAAN: LISAN
TARIKH: 04 JULAI 2019 (KHAMIS)
DARIPADA: TUAN FONG KUI LUN [BUKIT BINTANG]

SOALAN:

Minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah bilangan jawatan utama perkhidmatan awam yang telah dilantik terus oleh Perdana Menteri sejak Kerajaan Pakatan Harapan mentadbir tanpa merujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam dan bilakah Perdana Menteri merancang untuk menyerahkan tugas lantikan kepada jawatankuasa tersebut.


JAWAPAN:

1. Izinkan saya menjawab pertanyaan berkaitan isu pelantikan Jawatan Utama Perkhidmatan Awam ini, secara bersekali dengan soalan yang diutarakan oleh Ahli Yang Berhormat berikut:
i. YB [Ketereh] untuk dijawab pada 4 Julai 2019;
ii. YB [Marang] untuk dijawab pada 10 Julai 2019;
iii. YB [Beluran] untuk dijawab pada 16 Julai 2019; dan
iv. YB [Bukit Gelugor] untuk dijawab pada 16 Julai 2019.

2. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Buku Harapan iaitu manifesto Pakatan Harapan di bawah Janji 16: Mengembalikan Wibawa Institusi Parlimen tidak menyatakan secara jelas apakah jawatan-jawatan yang diklasifikasikan sebagai Jawatan Utama Perkhidmatan Awam. Malah terma yang digunakan di dalam Buku Harapan berkenaan ialah Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia.

3. Dalam konteks ini, bagi menjawab soalan Ahli Yang Berhormat, tiada jawatan yang dilantik terus oleh YAB Perdana Menteri kerana bagi jawatan Pengerusi dan ahli-ahli atau Ketua Pesuruhjaya keempat-empat Suruhanjaya yang dinyatakan tersebut, pelantikan dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan Akta masing-masing. YAB Perdana Menteri juga dalam memberi nasihat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (yang mana berkenaan) tidak terikat untuk merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana mekanisme yang sesuai pada masa ini masih dihalusi untuk memberikan peranan semak dan imbang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas peringkat Parlimen terhadap pemilihan penyandang jawatan-jawatan penting berkenaan.

4. Sebagai langkah permulaan, seperti mana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, sebanyak enam (6) Jawatankuasa Pilihan Khas (Special Select Committee) termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam telah ditubuhkan sebagai perintis berdasarkan kepentingan dan hala tuju Negara yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada Khamis, 16 Ogos 2018 semasa Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Keempat Belas.

5. Jawatankuasa ini mendapati bahawa proses pelantikan jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam ini adalah unik dan berbeza bagi setiap jawatan. Sehubungan itu, Jawatankuasa ini sedang mengenalpasti jawatan-jawatan yang diklasifikasikan sebagai Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam serta mengkaji mekanisme terbaik bagi ia menjalankan fungsinya dan memainkan peranan yang jelas dalam proses pelantikan jawatan-jawatan utama tersebut yang mana dijangka memerlukan pindaan Perlembagaan dan Akta-akta berkaitan. Sehingga mekanisme dan kerangka undang-undang yang baru dibuat, prosedur sedia ada akan terus digunapakai bagi memastikan urusan Kerajaan tidak terjejas.

Sekian, terima kasih.

PERTANYAAN : LISAN
TARIKH: 4 JULAI 2019 (KHAMIS)
DARIPADA: TUAN SU KEONG SIONG [Kampar]

SOALAN:

Minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah-langkah yang telah diambil dan/atau dicadangkan untuk memperkasakan dan meletakkan SPRM, SPR dan SUHAKAM di bawah Parlimen dalam usaha menyeluruh penstrukturan semula Jabatan Perdana Menteri.

JAWAPAN:

Yang di-Pertua,

1. Antara usaha Kerajaan bagi memperkasakan SPRM, SPR dan SUHAKAM adalah berkaitan pelantikan jawatan-jawatan utama yang mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di Parlimen dalam usaha mengembalikan kewibawaan institusi tersebut. Perkara ini juga selaras dengan salah satu cadangan penambahbaikan oleh Institutional Reforms Committee (IRC) iaitu dicadangkan supaya Public Appointment Bill digubal untuk urusan pelantikan dilaksanakan melalui prinsip akauntabiliti dan transparensi.

2. Pihak SPRM telah membentangkan inisiatif memperkasa SPRM semasa Mesyuarat JKKMAR Siri 3 Bilangan 3 Tahun 2018 yang telah diadakan pada 13 Ogos 2018 termasuklah supaya pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM hendaklah atas pertimbangan Parliamentary Select Committee (PSC). Mesyuarat bersetuju supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), SPRM dan Kementerian Kewangan menyusul semua syor serta pandangan ahli mesyuarat bagi mengkaji implikasinya sebelum diluluskan.

3. Pihak Parlimen juga dalam Mesyuarat JKKMAR Siri 3 Bilangan 3 Tahun 2018 yang sama telah membentangkan perkara berkaitan Manifesto Kerajaan iaitu Janji 16: Mengembalikan Wibawa Institusi Parlimen. Antara perkara yang dibangkitkan adalah bahawa cadangan membentuk jawatankuasa di peringkat Parlimen untuk mengesahkan pelantikan jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam atau negara memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan (PP). Sebagai contoh, Perkara 144 (1) PP memperuntukkan SPR hendaklah dilantik oleh SPB Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

4. Oleh yang demikian, mesyuarat bersetuju supaya kajian lanjut perlu dibuat oleh Parlimen secara terperinci bersama Jabatan Peguam Negara terhadap semua cadangan Janji 16 tersebut termasuklah yang berkaitan pelantikan jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam ini.

5. Sehingga kini, terdapat 6 Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah diluluskan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 dan ditubuhkan di Parlimen seperti berikut:
a) JPK Hubungan Antara Negeri-negeri dan Persekutuan
b) JPK Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam
c) JPK Menimbang Rang Undang-undang
d) JPK Bajet
e) JPK Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri
f) JPK Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender

Sekian, terima kasih.

Dr. Kamarul Yusoff

Leave a Reply