DAP PARTI PALING RAKUS DAN TERUK

Laporan-laporan media mengenai komen Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, terhadap jemputan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya semua parti Melayu menyertai BERSATU, menyerlahkan lagi hakikat bahawa DAP adalah parti yang paling rakus dan paling teruk berkawan antara semua parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Jika pemimpin DAP tidak rakus dan pandai berkawan, Lim Guan Eng sepatutnya menyerahkan sahaja soal dalaman BERSATU untuk diuruskan sepenuhnya oleh pemimpin BERSATU dan tidak cuba men”dictate” pemimpin BERSATU mengenai apa yang mereka perlu buat seperti mahukan Tun Dr Mahathir konsisten dalam menerima ahli-ahli baru.

Hubungan antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan adalah dipandu oleh Perjanjian Pakatan Harapan dan tiada mana-mana butiran pun yang memberikan garis panduan mengenai tatacara penerimaan ahli-ahli baru ke dalam parti komponen, sebaliknya apa yang ada ialah “prinsip tiada campur tangan di dalam urusan parti masing-masing”.

Soal penerimaan parti-parti Melayu yang dijemput menyertai BERSATU ke atas jemputan itu adalah satu soal lain, tetapi apa yang lebih utama ialah kebebasan pemimpin BERSATU untuk menguruskan sepenuhnya soal dalaman BERSATU, termasuk soal menerima ahli-ahli baru, tanpa kawalan, arahan atau gangguan daripada mana-mana parti komponen lain.

Sebenarnya tiada yang mengejutkan pun dalam kerakusan dan keterukan berkawan DAP ini kerana ia dapat dilihat dengan sangat jelas di dalam cara mereka menguruskan sesatunya negeri yang mereka ketuai, iaitu Pulau Pinang, setelah keputusan PRU 14 menyaksikan DAP memperolehi 19 kerusi, PKR 14 kerusi, AMANAH 2 kerusi dan BERSATU 2 kerusi.

Dengan komposisi kerusi yang begitu, jangkaan umum adalah komposisi Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengandungi wakil daripada setiap parti komponen seperti di Kedah yang menyaksikan ADUN N11 Derga dari DAP, Tan Kok Yew, dilantik sebagai Ahli EXCO Kerajaan Negeri walaupun DAP hanya menang 2 kerusi di Kedah.

Begitupun, walaupun nama Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah Kerajaan Pakatan Harapan, tetapi realitinya adalah ia dikuasai hampir sepenuhnya oleh DAP yang membolot kepada dirinya 8 kerusi Ahli EXCO Kerajaan Negeri selain memberi 3 kerusi kepada PKR dan membiarkan 2 ADUN dari AMANAH dan 2 ADUN dari BERSATU terkulat-kulat.

Kasihan kepada rakan-rakan dari AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil, ADUN N11 Permatang Pasir, dan Azrul Mahathir Aziz, ADUN N38 Bayan Lepas, serta rakan-rakan dari BERSATU, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, ADUN N2 Bertam, dan Zolkifly Md Lazim, ADUN N40 Telok Bahang; tetapi itulah wajah sebenar DAP yang rakus dan teruk berkawan.

Jika DAP tidak rakus dan pandai berkawan, sepatutnya tidak timbullah ingatan dari Setiausaha Agungnya supaya Tun Dr Mahathir konsisten dalam menerima ahli-ahli baru BERSATU dan sepatutnya komposisi Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berubah menjadi lebih adillah, seperti 6 @ 5 untuk DAP, 3 @ 4 untuk PKR, 1 untuk AMANAH dan 1 untuk BERSATU.

Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker