Tiga lelaki ditahan edar dadah bernilai RM2 Juta – PDRM

Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam rangkaian pengedaran dadah dan polis merampas 47 kilogram dadah bernilai kira-kira RM2 juta dalam beberapa serbuan di sekitar ibu negara pada Jumaat dan Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kesemua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia antara 28 dan 35 tahun.

Beliau berkata tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 28 tahun pada Jumaat lepas. Dia ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Ipoh, di sini, dan polis menemukan dadah disyaki syabu seberat 500 gram.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah kondominium di Jalan Metro Perdana di sini pada hari sama dan polis menemukan syabu seberat 300 gram serta wang tunai RM1,300.



“Susulan itu, pada hari sama, kami menyerbu sebuah lagi kondominium di Taman United, Jalan Klang Lama di sini dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di pintu lobi kondominium itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mazlan berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 30.6 kilogram; heroin (2.9 kilogram); pil eramin 5 (50,000 biji dianggarkan 14.4 kilogram); serta merampas sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM9,500.

“Kedua-dua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif dadah,” katanya sambil menambah dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 81,300 penagih dalam satu-satu masa.

Dalam pada itu, Mazlan berkata pada Isnin, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang mempunyai rekod jenayah dan merampas wang tunai berjumlah RM394,000 di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama.



Siasatan lanjut ke unit kondominium itu, polis menemukan sebuah peti besi dan menyita wang tunai sebanyak RM201,080; mata wang asing bernilai RM19,987.93 dan pelbagai barang kemas bernilai RM284,505, katanya sambil memberitahu lelaki terbabit positif dadah.

“Hasil siasatan terhadap kesemua suspek mendapati mereka mempunyai kaitan dalam pengedaran syabu, heroin dan pil Eramin 5 serta disyaki menggunakan penjualan secara dalam talian, mengedar dadah melalui perkhidmatan kiriman cepat tempatan dengan menggunakan bungkusan daun teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Mazlan berkata rangkaian itu aktif sejak tiga bulan lepas dan polis kini memburu beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ketiga-tiga lelaki terbabit.

Polis juga masih menyiasat status rumah yang diserbu memandangkan kediaman itu disewa dengan harga tinggi, katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker