IJN hospital pertama selepas Amerika Syarikat perkenalkan alat perentak jantung Micra AV

Institut Jantung Negara (IJN) telah mencipta satu lagi kejayaan dalam industri penjagaan kesihatan global apabila menjadi hospital pertama di luar Amerika Syarikat melaksanakan prosedur implan alat perentak jantung Micra AV.

Mirca AV adalah sejenis alat perentak terkecil di dunia untuk merawat degupan jantung yang perlahan.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, berkata Micra AV dengan atrioventrikular (AV) segerak digunakan untuk merawat pesakit yang menderita AV tersekat, yang merupakan bentuk penyumbatan degupan jantung di mana isyarat elektrik antara rongga jantung telah terjejas.

Katanya, sebelum ini beberapa pesakit jantung tidak dapat menerima alat perentak jantung konvensional kerana ia memerlukan pembedahan dan risiko mengalami pelbagai komplikasi jangka panjang.

“Oleh kerana ia adalah perentak jantung tanpa wayar, Micra AV dapat mengurangkan risiko pesakit mengalami komplikasi seperti berlakunya anjakan.

“Selain itu, saiz Micra AV adalah sebesar kapsul vitamin, menjadikannya salah satu alat perentak jantung terkecil di dunia sehingga doktor dapat melakukan implan melalui prosedur invasif minimum. Oleh itu, ia mengurangkan keperluan untuk pembedahan yang besar,” katanya pada sidang media di, IJN di sini, hari ini.

Dr Aizai Azan berkata IJN telah terlibat secara langsung dalam pembangunan peranti itu dan juga kajian praklinikal sejak 2018.

Sementara itu, perunding kanan kardiologi dan anggota pasukan elektrofisiologi jantung IJN, Dr Azlan Hussin, berkata alat itu tiba pada waktu yang tepat ketika pasukan perubatan IJN melakukan sumbang saran untuk mengurangkan pesakit terdedah kepada COVID-19.

Setakat ini, enam pesakit telah menjalani rawatan dengan yang pertama adalah pada 19 Mac lalu, katanya, sambil menambah bahawa teknologi perentak tanpa wayar itu memberi banyak faedah kerana prosedur kaedah baharu itu cuma mengambil masa 15 hingga 20 minit.

“Kali terakhir adalah semalam, kita telah membuat pembedahan ini terhadap seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun. Bila ada keperluan, baru kita mula buat dan tidak ada had umur yang ditetapkan untuk rawatan ini,” katanya.

Selain itu, Dr Azlan berkata Micra AV direka untuk menyediakan alternatif yang selamat untuk alat perentak jantung konvensional, tanpa komplikasi yang berkaitan dengan plumbum dalam jangka panjang.

“Cukup kecil untuk dimasukkan menggunakan ‘catherer’ dan diimplan terus ke dalam jantung melalui tiub kecil dan impuls elektrik yang menggerakkan jantung melalui elektrod di hujung peranti itu.

“Selain itu, Micra AV adalah satu persepuluh daripada ukuran alat perentak jantung konvensional tetapi memberikan teknologi perentak paling maju,” katanya.

Micra AV, yang dibangunkan dan dihasilkan oleh Medtronic Malaysia Sdn Bhd, adalah implan pertama yang dibuat dalam tempoh beberapa bulan di luar Amerika Syarikat selepas mendapat persetujuan prapasaran Januari lalu.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker